PHNOM PENH, 13 NOV – Vietnam, rakan perdagangan utama ASEAN, menyatakan bahawa perlindungan perdagangan serantau kekal sebagai halangan bagi eksportnya ke pasaran Asia Tenggara dan kerajaan tidak menawarkan subsidi kepada barangan Vietnam mahupun campur tangan dalam pasaran.
Kementerian Industri dan Perdagangan melaporkan bahawa Vietnam sedang menghadapi sejumlah 268 siasatan remedi perdagangan dengan lebih separuh daripadanya datang dari Asia, Afrika dan Oceania, menurut Vietnam News.
“Di ASEAN sahaja, Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand telah menyiasat 52 kes membabitkan barangan Vietnam.
“Di Oceania, Australia telah menyiasat 19 kes yang melibatkan Vietnam,” kata Pengarah Pihak Berkuasa Remedi Perdagangan kementerian itu, Trinh Anh Tuan.
Eksport utama Vietnam ke pasaran Asia ialah produk pertanian, komputer, bahan binaan, telefon bimbit dan komponen elektronik, produk elektrik, produk kayu, bahan kimia dan tekstil, menurut laporan itu.
Menurut Jabatan Am Kastam Vietnam, dalam sembilan bulan pertama 2024, eksport negara itu ke ASEAN mencapai hampir AS$27.6 bilion, meningkat 13.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Kementerian itu menganjurkan satu persidangan kelmarin untuk membincangkan siasatan antisubsidi terhadap barangan Vietnam dan cara untuk bertindak balas bagi melindungi eksportnya.
“Khususnya dalam pasaran seperti Australia, Filipina dan Indonesia, kami telah berjaya membuktikan bahawa kerajaan tidak memberikan subsidi kepada barangan Vietnam, atau campur tangan dalam pasaran,” kata Tuan pada persidangan itu.
Dalam tempoh 20 tahun, perdagangan antara ASEAN meningkat hampir lima kali ganda, mencecah hampir RM15 trilion (AS$3.5 trilion) tahun lepas berbanding hanya RM3.7 trilion (AS$872 bilion) pada 2003.
Pertumbuhan besar itu disebabkan terutamanya oleh rangkaian logistik yang lebih baik, liberalisasi perdagangan dan pengurangan tarif di bawah Skim Tarif Keutamaan Berkesan Bersama untuk Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN. – Bernama