Saturday, November 16, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vlogger belia popularkan teh boba China

    HANGZHOU, CHINA – Teh boba manis, bersusu dan berwarna-warni yang amat popular di China, di mana orang ramai menghirup menerusi straw dari cawan plastik besar merupakan pemandangan biasa dilihat di jalan raya dan pusat beli-belah di seluruh negara.

    Tetapi terdapat persaingan baharu dalam pasaran yang luas, dicirikan oleh produk amat murah yang menarik perhatian pengguna muda China yang kian berjimat cermat sekarang.

    Teh boba yang secara klasiknya mengandungi bebola diperbuat daripada ubi kayu dan datang dalam pelbagai perisa, dengan atau tanpa susu telah mendapat populariti besar di China, serentak dengan ledakan ekonomi dalam beberapa dekad kebelakangan ini yang meningkat taraf hidup penduduk.

    Walau bagaimanapun, kesan pasca pandemik telah menjejaskan teruk ekonomi, dengan pengguna keberatan menggunakan wang mereka sendiri dan pihak berkuasa China bergelut untuk menarik orang ramai berbelanja.

    Banyak rangkaian teh boba terbesar hari ini pernah memikat pengikut dengan produk premium berharga sekitar 25 hingga 40 yuan (AS$3.50 hingga AS$5.50) dan penjenamaan menarik yang menjadikan mereka simbol status kehidupan bandar kontemporari di China.

    Vlogger teh boba, Stacy Chen membuat rakaman untuk vlog di syarikatnya di Hangzhou, timur wilayah Zhejiang, China. – AFP
    Pekerja rangkaian teh boba Mixue Bingcheng menyediakan minuman untuk pelanggan di Beijing. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP
    Pelanggan membeli teh boba di sebuah kedai di pasar malam di Hangzhou, timur wilayah Zhejiang, China. – AFP
    Gambar AFP

    Namun sektor itu yang tahun lepas dianggarkan bernilai lebih daripada AS$21 bilion telah terjejas oleh gelombang baharu kedai kos rendah, ada di antaranya menawarkan minuman dengan harga AS$1 atau kurang.

    “Pasaran sedia ada sudah tepu,” beritahu Stacy Chen, seorang vlogger teh boba yang berpangkalan di bandar timur Hangzhou, kepada AFP.

    “Mengurangkan harga adalah satu-satunya cara yang boleh dilaksanakan (bagi syarikat) untuk menonjolkan daya saing pasaran mereka.”

    Chen telah menjalin pengikut dalam talian penggemar teh boba yang menonton videonya pada aplikasi gaya hidup Xiaohongshu dan Douyin, versi TikTok Cina, di mana dia mempunyai kira-kira 180,000 pengikut.

    Dalam videonya, dia duduk di hadapan deretan minuman, mengujinya dan membandingkannya sebelum menawarkan penontonnya penilaian terus-terang tentang penampilan, rasa dan kos mereka.

    Chen menunjukkan kepada AFP kepelbagaian pilihan yang tersedia kepada pengguna di jalan komersil di luar pejabatnya, di mana penghantar beruniform di papan luncur beroda membawa pulang pesanan dari lebih sedozen kedai teh, semuanya dalam jarak dekat.

    “Terdapat begitu banyak jenama teh susu di pasaran sekarang, dan mereka mengeluarkan produk baharu dengan cepat,” kata Chen kepada AFP.

    “Kami vlogger teh susu dan kopi tidak dapat merakam semua kandungan.”

    Industri teh boba China telah berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan banyak jenama kini menyumbang kepada kira-kira setengah juta kedai di seluruh negara.

    Industri pemula dengan bajet rendah ialah Mixue Bingcheng, yang diasaskan oleh dua adik-beradik pada tahun 1997 sebagai kedai ais kacang kecil di wilayah pedalaman Henan.

    Syarikat itu yang namanya diterjemahkan sebagai ‘bandar ais salji madu’ telah berkembang pesat, dengan maskot lelaki salji yang tersenyum dan papan tanda merah terang menghiasi kira-kira 32,000 kedai di China dan sekitar 4,000 lagi di 11 negara lain setakat tahun lepas.

    “Sentimen pengguna semasa (di China) menyaksikan banyak restoran dan kafe menurunkan harga mereka untuk menyesuaikan diri dengan tingkah laku perbelanjaan,” beritahu Evelyne Chang, penganalisis pasaran di China Skinny, kepada AFP.

    Mixue ‘mempunyai kelebihan utama dalam segmen teh susu harga rendah,’ kata Chang, sambil menambah ‘persaingan sengit dan kehomogenan produk’ telah membawa kepada perang harga dalam sektor itu.

    Pemulihan ekonomi pasca-Covid yang amat dinanti-nantikan di China masih belum menjadi kenyataan, dengan masalah sektor hartanah dan ketegangan perdagangan yang memuncak menjejaskan keyakinan pengguna.

    Pertumbuhan jualan runcit kekal lembap dan kadar pengangguran masih tinggi, mencetuskan kebimbangan mengenai kemelesetan ekonomi yang berpanjangan.

    Bagi kebanyakan profesional muda yang ingin berbelanja seberapa sedikit mungkin semasa bekerja di bandar-bandar peringkat teratas di China, syarikat baharu seperti Mixue lebih menarik bagi golongan tersebut.

    “Teh susu lain terlalu mahal,” kata Guo Jun yang berusia 21 tahun kepada AFP di luar sebuah kedai Mixue di Beijing.

    Guo, yang berasal dari wilayah utara Hebei tetapi menetap dan bekerja di ibu negara sekarang, berkata dia baru sahaja membeli air limau ais menggunakan diskaun pada Douyin dengan harga keseluruhan 2.8 yuan.

    “Tekanan kerja tinggi, persekitaran ekonomi tidak baik, perkara seperti gaji tidak bagus, jadi (orang muda) mungkin memilih untuk menjadi lebih praktikal,” kata Guo. Chen, vlogger di Hangzhou, mengatakan bahawa trend teh boba kos rendah adalah sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan populariti rangkaian kopi domestik yang menawarkan alternatif murah kepada firma asing yang lebih berorientasikan produk premium seperti Starbucks.

    Ini, menurut Chen, menjejaskan pengguna China pada tahap psikologi, menyebabkan mereka mengharapkan lebih banyak ganjaran daripada wang mereka.

    “Sebelum ini, kita semua pada asasnya melihat kopi sebagai produk import atau mewah,” katanya.

    “Kini saya boleh membeli produk mewah dengan harga 9.9 yuan atau 8.8 yuan. “Mengapa saya perlu membelanjakan lebih daripada 20 yuan untuk membeli secawan teh susu?” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda