SYDNEY, 29 APRIL – Seorang wanita Australia yang dituduh membunuh tiga individu dengan hidangan daging Wellington yang didakwa mengandungi cendawan beracun akan dibicarakan pada Rabu, dalam satu kes yang menarik perhatian seluruh dunia.
Erin Patterson, 50 tahun, didakwa atas tiga pertuduhan membunuh termasuk kedua-dua ibu dan bapa mentuanya, serta satu pertuduhan cubaan membunuh.
Beliau telah mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut.
Patterson didakwa menganjurkan satu majlis makan tengah hari pada Julai 2023, di mana beliau menghidangkan hidangan pastri bakar berisi daging lembu, yang menurut pihak polis, telah dicampur dengan cendawan beracun.
Ibu dan bapa mentuanya yang berpisah, Don dan Gail Patterson, serta isteri seorang paderi tempatan, Heather Wilkinson, meninggal dunia beberapa hari selepas memakan hidangan tersebut.

Suami Heather, Ian Wilkinson, pulih selepas hampir dua bulan dirawat di hospital.
Perbicaraan Patterson akan berlangsung di Mahkamah Undang-undang Lembah Latrobe di Morwell, selatan Melbourne kira-kira sejam perjalanan dari Leongatha, lokasi hidangan maut itu dikatakan telah disajikan.
Perbicaraan yang dijangka berlangsung selama enam minggu ini akan dimulakan dengan hujah pembukaan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan di mana kedua-dua pihak akan merumuskan kes masing-masing dan menyenaraikan saksi serta bukti yang akan dikemukakan.
Kes itu telah mendapat liputan meluas dalam media antarabangsa, mencetuskan beberapa siri podcast bahkan satu siri dokumentari televisyen di platform penstriman Australia, Stan.
Mahkamah Agung Victoria telah menetapkan garis panduan ketat bagi pelaporan berkaitan kes ini bagi memastikan Erin Patterson menerima perbicaraan yang adil.
Walaupun perbicaraan dibuka kepada orang awam, kes tersebut tidak akan disiarkan di televisyen. – AFP