LABUAN, 21 Jun – Seorang wanita Filipina yang baru berkahwin lapan bulan ditemui mati, dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam lubang kumbahan di rumahnya di perkampungan setinggan Kiamsam Lama, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Labuan, Supt Muhammad Farid Ahmad berkata mayat Siti Ratna Enok, 24, ditemui terendam di dalam lubang di bawah lantai dapur rumah berkenaan pada kira-kira 11 malam.
Polis turut menemui satu tukul besi di sebelah mayat mangsa, dipercayai senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa, katanya kepada Bernama.
Menurut Muhammad Farid, ayah mangsa merasa ada yang tidak kena apabila gagal mengesan anaknya yang kali terakhir dilihat dua hari sebelum itu bersama suaminya.
“Bapanya yang dalam keadaan curiga terus ke rumah anaknya dan mengumpil pintu untuk masuk ke rumah anaknya itu.
“Setelah masuk, bapanya terhidu bau busuk dari bahagian dapur namun tidak menjumpai anaknya dan mengesyaki sesuatu di bahagian bawah dapur lalu mengumpil ‘plywood’ lantai dapur sebelum menjumpai anaknya yang sudah tidak bernyawa di dalam lubang kumbahan berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, polis kini memburu suami mangsa yang berusia 24 tahun yang telah menghilangkan diri, katanya, menambah kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kampung Kiansam Lama adalah kawasan penempatan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk warga Filipina. – Bernama