Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Warga ekspatriat rasakan suasana ‘balik kampung’

    Oleh Lyna Mohammad – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Hari Raya Aidilfitri, perayaan yang melambangkan keimanan, kesyukuran, dan keampunan, disambut dengan penuh meriah di Brunei oleh warga expatriat yang juga merasakan suasana ‘balik kampung’ meskipun jauh dari tanah air.

    Para expatriat dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Bangladesh, dan Indonesia turut menyuarakan perasaan yang sama, dengan banyak dalam kalangan mereka menyambut Hari Raya di Brunei dengan penuh kemeriahan.

    Menteri Kaunselor di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Idris Abu Nawas menyatakan ini menandakan tahun kedua beliau menyambut Hari Raya di Brunei sejak ditempatkan di negara ini kira-kira 18 bulan lalu. Baginya dan keluarga, mereka berpeluang merasai pengalaman menyambut hari raya di empat negara dengan yang pertama di Thailand diikuti dengan Pakistan, Bangladesh dan kemudian Brunei.

    Beliau dan keluarga biasanya mengalu-alukan tetamu ke rumah terbuka mereka pada hari raya pertama dan hari-hari berikutnya akan menghadiri jemputan atau membuat kunjungan raya.

    Keluarganya akan menyediakan hidangan raya buatan sendiri mereka dan tahun ini hidangan raya mereka termasuk rendang daging lembu dan kerang, ketupat, lontong, nasi lemak, sambal tumis, dan pencuci mulut serta kuih raya.

    Mohammad Liakat Ali bergambar ramai bersama Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Brunei Darussalam, PYT Nahida Rahman Shumona, keluarga dan rakan-rakan yang berada di Negara Brunei Darussalam. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMMAD
    Idris Abu Nawas bergambar ramai bersama keluarga semasa merayakan Hari Raya Aidilfitri. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMMAD
    Sebahagian ekspatriat yang berada di negara ini sempat meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMMAD

    “Tidak banyak perbezaan sambutan di luar negara kecuali setiap negara mempunyai keunikan dan tradisi masing-masing dan mungkin yang kurang ialah suasana yang meriah serta balik kampung dan berkumpul bersama keluarga di satu rumah,” tambah beliau.

    Presiden Dewan Perniagaan Bangladesh Brunei Darussalam, Mohamad Liakat Ali turut berkongsi bahawa beliau yang telah menyambut hari raya selama kira-kira 20 tahun, semakin membiasakan diri untuk menyambut hari raya jauh dari kampung halamannya di Bangladesh. Tradisi biasa mereka ialah mengadakan perhimpunan keluarga di rumah dan kemudian melawat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh dan menyertai komuniti Bangladesh lain di negara itu yang datang ke suruhanjaya tinggi tersebut.

    Mohammad Liakat Ali yang menjalankan perniagaan kontraktor am di negara ini, kemudiannya akan melawat saudara-mara dan rakan-rakan mereka di Brunei serta membuat kunjungan rumah terbuka oleh kenalan perniagaan dan pelanggannya serta daripada ekspatriat lain yang bekerja atau menjalankan perniagaan di negara ini. Mejar Mohd Rokon-Uz-Zaman Khan dari Tentera Darat Bangladesh yang sedang menjalani latihan di Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Brunei (ABDB), mengungkapkan kesenangan beliau menyaksikan tradisi Brunei meraikan hari raya yang berlangsung sepanjang bulan Syawal.

    Sementara itu, Dr Robiul, seorang doktor ortopedik di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), yang telah menetap di Brunei selama sembilan tahun, berkongsi tentang hari raya yang tidak terlupakan semasa pandemik COVID-19.

    “Saya merasa sangat beruntung dan bersyukur dapat membantu rakyat Brunei dalam krisis ketika itu,” ujar beliau. Manakala Febry Elsafrino dari Kedutaan Indonesia dan Chef Suhaimie dari Malaysia turut berkongsi pengalaman masing-masing mengenai sambutan Aidilfitri di Brunei, menekankan suasana yang akrab dan keramahan orang Brunei yang membuat mereka merasa seperti di rumah sendiri.

    Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Brunei tidak hanya menunjukkan kehangatan dan kesatuan komuniti tetapi juga keunikan budaya yang dikongsi antara warga tempatan dan komuniti expatriat, mencerminkan semangat hari raya yang sebenar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...