LABUAN – Perpindahan penduduk Semenanjung ke pulau bebas cukai Labuan ternyata mempengaruhi menu hidangan bukan sahaja di restoran bahkan juga juadah yang dijual di bazar Ramadan.
Lauk-pauk seperti ayam percik, lemang, laksam, nasi dagang, nasi kandar, nasi kerabu, laksa Penang, laksa Johor, ikan dan sotong bakar Portugis adalah antara yang menjadi kegemaran ramai di Labuan.
Bubur lambuk yang sememangnya hidangan popular sejak berdekad lepas dan dikatakan ‘menu bermusim’ dan bermula di Kampung Baru, Kuala Lumpur, kini turut menjadi menu kemestian setiap Ramadan di pulau ini. Malah ia menjadi menu penyatuan pelbagai lapisan masyarakat.
Sebagai contoh, untuk tiga minggu pertama Ramadan sahaja, hampir lapan jabatan kerajaan bekerjasama memasak bubur lambuk dalam kawah besar untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 3,000 bekas. Bubur lambuk itu diagihkan kepada warga Labuan dan kenalan jabatan.
Kedatangan warga Semenanjung secara ketara ke Labuan bermula apabila pulau itu diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan pada 1984 dan dijadikan sebagai satu daripada wilayah persekutuan selepas Kuala Lumpur.
Ini diikuti dengan perpindahan kakitangan pelbagai jabatan kerajaan persekutuan serta syarikat-syarikat kewangan dan minyak dan gas ke Labuan.
Era pelbagaian juadah semenanjung ke Labuan
Bagi peniaga bazar Ramadan, Norbayah Bakti, 49, beliau yang berhijrah ke Labuan dari Kedah sejak lebih 25 tahun lepas bersama suami, Labuan sudah menjadi kampung halaman mereka sekeluarga. Pasangan ini lazimnya menjalankan perniagaan hidangan pelbagai lauk setiap Ramadan.
“Saya tak boleh katakan saya peneraju dalam memperkenalkan banyak hidangan Semenanjung ke Labuan tetapi sedikit sebanyak perniagaan makanan kami sekeluarga ini ada juga membantu memperkenalkan lauk kegemaran ramai iaitu laksam, nasi dagang dan nasi kerabu,” katanya kepada Bernama.
Meskipun harga yang dikenakan untuk setiap hidangan adalah antara RM5.00 hingga ke RM10 (mencecah RM13 sekiranya ada pertambahan lauk sokongan lain), dan masih terdapat rungutan, namun juadah ini masih mendapat perhatian.
“Alhamdulillah, dari mula minggu pertama Ramadan, gerai kakak sentiasa penuh dan adik boleh lihat barisan panjang menunggu giliran untuk lauk yang lain. Inilah rezeki Ramadan untuk anak,” kata Norbayah dengan penuh rasa rendah diri.
Rata-rata, pengunjung bukan sahaja terdiri daripada warga Semenanjung tetapi juga penduduk tempatan.
Meskipun Kerajaan Negeri Sabah tidak lagi mentadbir Labuan, namun hampir separuh penduduk di pulau ini adalah warga negeri Sabah.


Hidangan lain yang turut mendapat perhatian adalah ayam golek yang berharga antara RM15 – RM20 dan sotong dan ikan bakar.
Hampir setiap hari pengunjung akan berbaris menunggu giliran seperti yang juga berlaku di bazar Taman Mutiara, Sg Bedaun.
Sekiranya, lauk-pauk dari Semenanjung mencorakkan menu bazar Ramadan, kuih-muih tempatan seperti kuih bom, pelita, jelurut, kuih lapis pelbagai warna, karipap, kelupis, kuih cin cin, kuih ardam, badak berendam, lamban dan rempeyek juga menjadi hidangan tambahan pemula selera berbuka.
“Syukurlah, dengan penyediaan tapak bazar Ramadan di beberapa kawasan, kita dapat melihat hidangan popular dari Semenanjung turut ditawarkan kepada pengunjung bazar.
“Yang menariknya, makanan ini bukan sahaja dijual oleh peniaga dari Semenanjung, malah warga tempatan kini telah mahir memasak dan menghidangkan juadah popular Semenanjung di hampir semua bazar,” kata seorang lagi peniaga bazar, Sadiah Hussin, 50.
Juadah dari Semenanjung kini bukan sahaja popular di Labuan malah di hampir setiap daerah di Sabah.
Oleh itu tidak dinafikan perpindahan ramai warga Semenanjung memainkan peranan penting dalam kepelbagaian menu tempatan kini.
Abdul Karim Abdul Jabar, 45, yang berasal dari Selangor dan kini berkhidmat di jabatan kerajaan persekutuan di Labuan sejak tiga tahun lepas berkata, kepelbagaian menu yang turut melihat kepada lauk-pauk Semenanjung membolehkannya tidak berasa janggal untuk menjalani kehidupan bersama keluarga di pulau ini.
“Tidaklah saya rasa tercari-cari atau kerinduan makanan Semenanjung dengan adanya menu Semenanjung di sini, lagi-lagi masa bulan Ramadan ini yang sememangnya kami dari Semenanjung akan teringatkan nasi dagang dan kerabu. Alhamdulillah ada juga makanan itu,” katanya.
Secara umumnya, penghijrahan warga Semenanjung ke Labuan membuka ruang kepada kepelbagaian menu tempatan, selain penyatuan pelbagai lapisan masyarakat. – Bernama