KOTA KINABALU, 22 MAC – Sabah akan mewartakan semua kawasan sumber air sebagai langkah proaktif bagi mengatasi krisis bekalan air pada masa akan datang terutama ketika berdepan bencana kemarau.
Timbalan Ketua Menteri Sabah I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata langkah itu diambil bagi menjaga kawasan sumber air di negeri itu sekali gus membolehkan Jabatan Air Negeri Sabah mengurus bekalan air untuk kegunaan penduduk dan industri.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah itu berkata, beberapa kawasan telah dikenal pasti untuk tujuan tersebut terletak di daerah Tuaran, Papar, Tawau, Sandakan, Semporna, Kudat dan Penampang.
“Kita mempunyai dua pewartaan, satu untuk perlindungan. Kawasan itu tidak boleh diganggu sama sekali. Walaupun ia kawasan tanah kerajaan, di luar taman negara atau hutan simpan. Di sekitarnya itu memang ada juga kawasan yang mempunyai tadahan air dan ini dikategorikan sebagai kawasan pemeliharaan.”
“Ini juga perlu kita warta tetapi kawasan ini ada beberapa kelonggaran sedikit kerana kebanyakannya ada juga tanah bergeran dan kebun. Kita kena buat dasar untuk menangani atau mengurus kawasan pemeliharaan ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sumber Air Sabah di sini, hari ini. – Bernama
