Saturday, November 30, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wartawan jadi pengusaha itik panggang

    IPOH – Dari bidan terjun, pasangan bekas pengamal media tidak menyangka cubaan mereka menceburi bidang perniagaan makanan berasaskan itik mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum di bandar raya ini.

    Bekas wartawan penyiaran Bernama TV, Amira Hanis Mohd Asri, 33, dan suaminya, Razman Nazrin Shah Abdul Aziz, 34, yang juga bekas Pembantu Pengurus Pentas di Pak Ngah Production membuat keputusan berhenti kerja di ibu negara dan pulang ke kampung halaman mereka di sini serta memulakan perniagaan itik panggang sejak tiga tahun lepas.

    “Suami suka memasak dan selalu menyediakan hidangan itik panggang untuk keluarga. Jadi saya cadangkan supaya kami menjualnya kerana percaya ia boleh mendapat permintaan tinggi.

    “Kami pernah cuba menjualnya secara dalam talian di sekitar Bangi dan Damansara sebelum membuka gerai di Ipoh. Alhamdulillah. Bermula dari gerai, kini kami beroperasi sepenuhnya di sebuah restoran,” kata Amira Hanis ketika ditemui Bernama di restorannya, Ipoh Smokey Roasted Duck di Pusat Perdagangan Jelapang 2 di sini, baru-baru ini.

    Hirisan dada itik salai bersama kentang putar ‘coleslaw’, salad dan sos bawang putih merupakan menu istimewa yang paling diminati oleh pelanggan di Restoran Smokey Roasted Duck. – Bernama
    Pekerja Hidayah Azahar, 23, memasukkan beberapa ekor itik ke dalam pemanggang. – Bernama
    Pemilik Ipoh Smokey Roasted Duck Razman Nazrin Shah Abdul Aziz, 34, memotong itik panggang untuk tempahan pelanggan. – Bernama
    Pemilik Ipoh Smokey Roasted Duck Razman Nazrin Shah Abdul Aziz, 34, (tengah) melayan pelanggan tetapnya menjamu selera. – Bernama
    Amira Hanis berkata restorannya menjadi semakin laris selepas dipromosikan oleh seorang pentadbir laman sosial Facebook tempatan. – Agensi

    Amira Hanis berkata menu istimewa yang paling diminati pelanggan adalah set Smokey Roasted Duck iaitu hirisan dada itik panggang dihidangkan bersama nasi, sayur coleslaw, salad dan sos bawang putih.

    Gunakan daging itik segar

    Selain set itik panggang, menu lain yang tersedia di restoran itu ialah nasi itik, nasi ayam, dan mi wantan itik serta mi wantan ayam yang begitu sinonim dengan masyarakat Cina.

    Restoran itu juga menggunakan daging itik segar setiap hari bagi memelihara kualiti makanan dan kesemua menu dijamin halal, kata Amira Hanis.

    “Kami juga telah melakukan proses percubaan beberapa kali untuk dirasai pelanggan sehingga kami memperoleh hasil rasa itik gantung ala Hong Kong yang betul-betul enak dengan ramuan perapan daripada lima rempah terpilih.

    “Proses memanggang itik dan ayam juga memerlukan kesabaran dan penyesuaian suhu bagi memastikan daging itik garing di bahagian luar namun isinya dimasak sempurna dan lembut di bahagian dalam,” jelasnya.

    Walaupun rutin harian Amira Hanis berbeza dari dulu, iaitu menjalani gaya hidup glamor sebagai pembaca berita, namun kini beliau lebih senang sebagai peniaga makanan.

    “Rasa seronok kerana dapat memenuhi selera makan pelanggan dengan hidangan itik selain Perak merupakan antara negeri terbesar di Semenanjung yang mempunyai kawasan ternakan itik,” katanya.

    Bercerita lebih lanjut, Amira Hanis berkata menu itik panggang restorannya itu semakin laris selepas seorang pentadbir laman sosial Facebook tempatan (MohKeIpoh, Oh my Perak) menempah hidangan daripada restorannya dan mempromosikannya sehingga ia tular dan mendapat komen positif warganet.

    “Kami juga gembira kerana pelanggan restoran ini terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa yang gemar untuk menikmati daging itik,” katanya mengakui menerima banyak tempahan setiap hari. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda