Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Waspada ancaman ular berbisa ketika cuaca panas

    ALOR SETAR, 6 FEB – Orang ramai diingatkan agar berwaspada dengan ancaman ular berbisa ketika melakukan pembersihan kawasan rumah dalam tempoh fenomena cuaca panas yang sedang melanda negeri pada masa ini.

    Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan Ibu Pejabat Pertahanan Awam (IPPA), Kol (PA) Fazlisyah Muslim berkata cuaca panas melampau menyebabkan reptilia berbisa seperti ular mencari tempat perlindungan baharu yang lebih sejuk dan gelap termasuk di kawasan kediaman.

    “Ancaman ular begitu tinggi pada waktu panas, banyak kes kita terima jadi, nasihat saya agar penduduk lebih berhati-hati ketika mengemas atau mencuci kawasan rumah seperti di stor, tandas, bilik dan dapur menjelang perayaan (Tahun Baharu Cina) ini.

    “Kebanyakan kes ancaman ini bukan sahaja berlaku di kampung atau pedalaman, tetapi banyak juga diterima di kawasan pekan, bandar yang banyak taman perumahan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kedah di sini hari ini.

    Beliau berkata orang ramai juga dinasihatkan agar tidak bertindak sendiri menangkap haiwan berbisa, sebaliknya menghubungi APM atau pihak berkaitan.

    “Adalah lebih baik periksa terlebih dahulu kawasan tersorok dan gelap dengan kayu, jolok-jolok dulu untuk memastikan tiada ular bersembunyi. Elakkan membersih rumah secara bersendirian. Dalam keadaan kecemasan, orang lain yang berada bersama kita boleh menjadi penting untuk maklum balas yang cepat dan memastikan sebarang insiden ditangani dengan segera dan cekap,” katanya.

    Fazlisyah berkata statistik menunjukkan APM telah mengendalikan sebanyak 104,859 kes tangkapan ular di seluruh negara pada tahun lepas dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 16,160 kes, diikuti Johor (11,163), Perak (11,093), Kelantan (9,788) dan Kedah (8,067).

    Beliau berkata bagi Januari tahun ini sahaja, APM sudah merekodkan 10,296 kes tangkapan ular di seluruh negara, kebanyakannya membabitkan ular sawa batik, tedung selar dan ular senduk. – Bernama

    Kol (PA) Fazlisyah Muslim (tengah) ketika Perasmian Pembukaan Latihan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kedah di Kompleks APM Kota Setar, Anak Bukit, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...