BEIJING, 31 DIS – Beijing hari ini menegaskan bahawa pihaknya telah berkongsi maklumat mengenai COVID-19 ‘tanpa menyembunyikan apa-apa’ selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa China supaya menyediakan lebih banyak data dan akses untuk memahami asal-usul penyakit itu.
COVID-19, yang pertama kali dikesan di bandar Wuhan, China, telah meragut jutaan nyawa, melumpuhkan ekonomi global dan membebankan sistem kesihatan.
Dalam kenyataan yang diterbitkan kelmarin, WHO menyatakan China mempunyai ‘tanggungjawab moral dan saintifik’ untuk berkongsi lebih banyak maklumat.
“Lima tahun lalu… China dengan serta-merta berkongsi maklumat mengenai wabak dan jujukan gen virus dengan WHO dan komuniti antarabangsa,” kata jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning, semasa sidang media hari ini.
“Tanpa menyembunyikan apa-apa, kami telah berkongsi pengalaman pencegahan, kawalan dan rawatan, sekali gus memberikan sumbangan besar kepada usaha komuniti antarabangsa melawan pandemik,” tambahnya.
Bulan ini menandakan ulang tahun kelima sejak wabak tersebut pertama kali dilaporkan di Wuhan.
Sepanjang pandemik COVID-19, WHO telah beberapa kali mengkritik pihak berkuasa China kerana kurang ketelusan dan kerjasama.
Pada awal 2021, satu pasukan pakar yang diketuai WHO, dengan kerjasama rakan sejawat dari China, melancarkan siasatan mengenai asal-usul pandemik itu.
Dalam satu laporan bersama, pasukan penyiasat menyokong hipotesis mengatakan virus itu mungkin telah disebarkan oleh haiwan perantara daripada kelawar kepada manusia di sebuah pasar.
Namun, sejak itu para penyiasat tidak dapat kembali ke China, dan pegawai WHO berulang kali meminta lebih banyak data tambahan. – AFP