Saturday, January 4, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Xi sampaikan Perutusan Tahun Baharu 2025

    BEIJING, 1 JAN – Presiden China, Xi Jinping telah menyampaikan perutusan Tahun Baharu menerusi pelbagai platform di bawah Kumpulan Media China (CMG) di sini pada malam terakhir sebelum ketibaan tahun 2025.

    Beliau terlebih dahulu membuat kesimpulan terhadap 2024 yang disifatkannya luar biasa, baik dari segi China mahupun dunia dan menzahirkan harapan agar negara itu diberikan keberkatan rezeki serta menyambut Tahun Baharu dalam suasana gembira.

    Xi menggunakan ungkapan ‘kita bersama-sama berjalan dalam tempoh empat musim, mengalami cuaca angin dan hujan dan akhirnya dapat menyaksikan keindahan pelangi’ untuk menggambarkan 2024 yang sukar dilupakan dan luar biasa.

    Xi memilih tiga perangkaan untuk menunjukkan pencapaian China dalam tempoh setahun lepas.

    Pertama, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur akan melebihi RMB130 trilion (RM80 trilion) yang membuktikan ekonomi domestik kian pulih dan mantap. Kedua, jumlah pengeluaran bijirin telah melepasi paras 700 bilion kilogram, menandakan kemandirian China dalam bidang pembekalan bijirin dan terakhir, China buat pertama kali merekodkan pengeluaran tahunan kenderaan elektrik bateri (BEV) mencecah paras lebih 10 juta unit yang turut merancakkan landskap industri yang beraneka ragam.

    Ketika mengimbau kembali tinjauan beliau di serata China tahun lepas, Xi gembira melihat perubahan positif dalam kehidupan rakyat di peringkat akar umbi. Menurut Xi, yang paling penting adalah memastikan rakyat boleh hidup sejahtera.

    Menyentuh tentang situasi antarabangsa, Xi berkata China bersedia memikul tanggungjawab sebagai kuasa besar, mendorong reformasi tadbir urus global dan memperhalusi pelaksanaan projek kerjasama Selatan Global.

    Menurut Presiden Xi, China berusaha memperhebat pembinaan yang berkualiti tinggi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) selain menganjurkan Sidang Kemuncak Forum Kerjasama China-Afrika dengan jayanya. China juga tegas menyuarakan pendirian dan memberi sumbangan besar untuk keamanan serta kestabilan dunia melalui rundingan bilateral dan multilateral. – Bernama

    Skrin besar menunjukkan Presiden China, Xi Jinping sedang menyampaikan ucapan menjelang sambutan Tahun Baharu di Beijing pada 31 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda