Wednesday, October 2, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Xiao Qi Ji bertemu orang ramai kali pertama selepas dipulangkan

    CHENGDU, 28 DIS – Xiao Qi Ji iaitu seekor panda yang dilahirkan di Amerika Syarikat (AS) dan dipulangkan ke China pada bulan lalu, bertemu dengan orang ramai buat kali pertama pada Selasa di wilayah Sichuan, barat daya China.

    Selepas lebih daripada sebulan diasingkan, diperiksa dan dijaga oleh penjaga panda, Xiao Qi Ji beransur-ansur menyesuaikan diri dengan persekitaran hidup di pangkalan panda gergasi Shenshuping di Rizab Alam Semula Jadi Negara Wolong di Sichuan.

    Dilahirkan pada 21 Ogos 2020 di Washington DC, Xiao Qi Ji kembali ke Sichuan pada 9 November dari Zoo Kebangsaan Smithsonian bersama ibu bapanya, Mei Xiang dan Tian Tian.

    Xiao Qi Ji telah menarik kehadiran ramai pelancong di pangkalan panda gergasi Shenshuping.

    “Panda itu sangat comel dan mempunyai bulu yang sangat licin. Saya sangat sukakan panda kerana setiap kali saya melihatnya, saya merasa gembira dan ia menghilangkan tekanan,” kata Xia Feng, seorang peminat panda.

    Ketika ini, Tian Tian dan Mei Xiang juga dilepaskan daripada kuarantin. Untuk penjagaan yang lebih baik bagi dua ekor panda gergasi yang sudah tua, haiwan itu kini ditempatkan di pusat jagaan di pangkalan panda gergasi Dujiangyan di Pusat Pemeliharaan dan Penyelidikan Panda Gergasi China, yang mana ia tidak dibukakan kepada awam.

    Mei Xiang dan Tian Tian dibawa ke AS 23 tahun lalu dan melahirkan empat anak panda, yang mana Tai Shan, Bao Bao dan Bei Bei telah dipulangkan ke China sebelum Xiao Qi Ji. – Xinhua

    Gambar bertarikh 21 Ogos 2023 menunjukkan panda gergasi bernama Xiao Qi Ji menikmati sebiji kek di Zoo Kebangsaan Smithsonian di Washington DC. Xiao Qi Ji telah ditemukan dengan orang ramai selepas lebih sebulan diasingkan. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda