Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Ya Nur rasmi cawangan terbaharu

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    TUTONG, 26 SEPT – Dengan hasrat membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya dalam kalangan anak tempatan, Syarikat Perniagaan Ya Nur Sdn Bhd telah merasmikan cawangan pasar raya baharunya di Tutong pada pagi tadi. 

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan cawangannya yang ke-6 tersebut ialah Pengerusi Serikandi Group of Companies, Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahmad.

    Turut hadir pada majlis ialah Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Alok Amitabh Dimri dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko.

    Ketua Pegawai Eksekutif Ya-Nur, Revi Bhaskaran semasa majlis tersebut antara lain menjelaskan bahawa Ya-Nur juga seperti perniagaan lainnya turut terjejas akibat pandemik. Beliau bagaimanapun memuji kebijaksanaan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menangani gelombang pandemik di negara ini dan membantu perniagaan runcit seperti pasar raya agar dapat bertahan dan beroperasi dengan impak minimum.

    “Ya-Nur juga telah mencuba sedaya upaya untuk menjaga pelanggan kami dengan mengekalkan amalan kesihatan dan kebersihan yang baik dalam operasi kami.

    “Menyokong dan menjunjung visi wawasan 2035 telah menjadi keutamaan kami dalam mana-mana perniagaan yang kami jalankan. Kami berusaha menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Brunei serta menyumbang kepada sekuriti makanan negara dengan melabur secara berterusan dalam pertanian mampan dan industri makanan,” jelas Revi Bhaskaran.

    Sementara itu, Shaikh Khalid ketika ditemui turut merakamkan kesyukuran di atas perasmian cawangan terbaharu dalam usahanya untuk membantu mengurangkan kadar pengangguran di Daerah Tutong.

    Sebanyak 70 peratus pekerja tempatan digaji apabila cawangan baharu tersebut dibuka di samping memberikan komitmennya untuk menawarkan barangan dengan harga yang berpatutan sesuai dengan konsepnya ‘Happy Shopping with Value for Money’ khususnya bagi penduduk di Daerah Tutong.

    Shaikh Khalid, TYT Alok Amitabh Dimri, TYT Dr Sujatmiko dan Revi Bhaskaran semasa memotong reben sempena pelancaran cawangan pasar raya Ya Nur di Tutong, kelmarin.
    Antara pelanggan yang mengunjungi pasar raya Ya Nur semasa perasmian pembukaannya di Tutong kelmarin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...