Friday, December 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Young Tigers tewas kepada India 1-3

    KUALA LUMPUR, 4 DIS – Hasrat skuad hoki remaja lelaki Malaysia untuk melangkah ke pentas final Kejohanan Piala Remaja Asia 2024 tidak kesampaian selepas tewas 1-3 kepada penyandang juara, India, dalam aksi separuh akhir di Stadium Hoki Oman, semalam.

    Skuad negara kendalian I Vikneswaran memulakan perlawanan dengan baik namun gawang mereka terlebih dahulu dibolosi menerusi jaringan padang oleh Dilraj Singh pada minit ke-10 perlawanan.

    Memasuki suku kedua, Malaysia cuba bangkit dengan mengatur beberapa gerakan serangan untuk menyamakan kedudukan namun percubaan mereka gagal diterjemahkan kepada gol.

    India menambah gol kedua pada penghujung suku ketiga, kali ini menerusi Rohit yang menyempurnakan pukulan sudut penalti, sekali gus meletakkan tekanan besar kepada skuad muda negara.

    Suku terakhir menyaksikan India terus mengukuhkan kedudukan dengan jaringan ketiga hasil pukulan kencang Shardanand Tiwari pada minit ke-53.

    Malaysia akhirnya meraih gol sagu hati pada minit ke-57 menerusi Azimuddin Syakir Kamaruddin namun ia tidak cukup untuk me-ngubah keputusan perlawanan. Kemenangan itu mengesahkan tempat India di final untuk bertemu seteru tradisi, Pakistan, yang sebelum itu menewaskan Jepun 4-2. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda