SAN FRANCISCO, 15 NOV – YouTube kini memperkenalkan ciri baharu yang membolehkan pencipta kandungan menjana pendapatan semasa siaran langsung menegak, menurut kenyataan syarikat itu kelmarin.
Melalui ciri baharu itu, penonton boleh membeli jewels, mata wang digital YouTube, untuk menghantar gifts atau hadiah berbentuk animasi yang akan muncul di skrin sepanjang siaran langsung menegak. Setiap hadiah yang dihantar akan memberikan Rubies kepada pencipta kandungan, di mana mereka menerima satu sen (AS$0.01) bagi setiap ruby yang diterima.
Walau bagaimanapun, hadiah hanya boleh diterima jika pencipta kandungan menyiarkan siaran langsung menegak sama ada secara terus melalui YouTube atau menggunakan perisian penstriman pihak ketiga. Penonton pula hanya boleh menghantar hadiah melalui aplikasi mudah alih, menurut YouTube.
Syarikat itu menyatakan bahawa ciri hadiah itu memberikan pengalaman baharu kepada penonton untuk menyokong pencipta kegemaran mereka secara visual.
Fungsi ini turut dibandingkan dengan ciri live gifting TikTok, yang membolehkan penonton membeli coins untuk menghantar hadiah bernilai wang kepada pencipta kandungan semasa siaran langsung. Menurut laporan TechCrunch, pencipta kandungan di TikTok berjaya menjana ribuan dolar melalui pemberian hadiah semasa siaran langsung mereka, termasuk beberapa penstrim Non-Player Character (NPC) yang memperoleh ribuan dolar dalam sehari.
Langkah itu menandakan perkembangan dalam usaha YouTube untuk meningkatkan pengalaman siaran langsung serta memberi peluang kepada pencipta kandungan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan mereka. – Xinhua