Selepas enam tahun berlalu, penyanyi Malaysia, Zamani mendedahkan dia terpaksa menanggung perasaan malu sewaktu membuat persembahan ketika menyertai program realiti nyanyian Gegar Vaganza.
Menurut Zamani atau Zamani Ibrahim, 54, dia hampir menarik diri daripada menyertai program berkenaan kerana mengalami masalah suara sebelum malam latihan penuh untuk minggu berkenaan.
Bagaimanapun, pengarah muzik Datuk Ramli MS selaku juri menasihatkan Zamani untuk meneruskan persembahan bagi membuktikan penyanyi berkenaan benar-benar tidak sihat.
“Pada mulanya saya ingin menarik diri daripada program tersebut tetapi Ramli MS suruh saya menyanyi sahaja dan biarkan penonton tahu yang saya benar-benar sakit.
“Jadi mahu atau tidak saya menyanyi juga dengan wajah yang tidak rela kerana malu.
Waktu itu perasaan saya memang malu kerana suara sudah tidak boleh keluar tetapi saya tetap kena menyanyi juga,” katanya, menurut mStar.
Zamani berkongsi perkara itu menerusi sesi temu bual di Dol’s Podcast yang dimuat naik di YouTube.
Dalam pada itu, Zamani menceritakan masalah kehilangan suara itu berlaku secara tiba-tiba sehingga menyebabkan dia tidak lagi mampu untuk menyanyi.
Kata Zamani, perkara itu terjadi selepas dia menikmati buah tembikai namun enggan menyalahkan mana-mana pihak.
“Perkara itu (hilang suara) berlaku secara tiba-tiba, petang waktu soundcheck semuanya okay sehinggalah saya makan tembikai. Saya husnuzon sahaja anggap perkara tersebut terjadi kerana buah tembikai.
“Selepas daripada itu suara saya dah tak boleh keluar. Tapi tak sangka hasilnya persembahan saya pada minggu itu mendapat perhatian penonton yang memberikan sokongan,” ujarnya. – Agensi