LUSAKA, 25 NOV – Zambia mengalami gangguan bekalan elektrik di seluruh negara semalam, menurut syarikat utiliti kuasa milik kerajaan Zesco seperti dilaporkan oleh agensi Anadolu.
“Zesco Limited memaklumkan kepada rakyat bahawa negara ini telah mengalami gangguan sistem kuasa pada Ahad, jam 8:15 malam waktu tempatan, menyebabkan kehilangan bekalan elektrik yang menjejaskan seluruh negara itu.
Syarikat sedang berusaha gigih untuk menyelesaikan gangguan tidak dirancang ini, dan proses pemulihan bekalan elektrik sedang dijalankan,” kata pemangku pengarah urusan Zesco, Justin Loongo dalam satu kenyataan di ibu negara, Lusaka.
Loongo berkata perkembangan mengenai situasi itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, sambil menambah “kami kesal dengan gangguan bekalan elektrik tidak dirancang itu dan berharap sokongan dan kesabaran pelanggan kami.” – Bernama