Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Zoo robot pukau pengunjung

    SHARJAH, EMIRIAH ARAB BERSATU – Bukan sahaja kanak-kanak yang teruja untuk berkunjung ke Festival Membaca Kanak-Kanak Sharjah ke-13 (SCRF) pada bulan lalu tetapi juga golongan ibu bapa apabila buat julung kalinya, festival itu menganjurkan Pameran Zoo Robot.

    Pameran Zoo Robot bertujuan untuk mendidik hibur kanak-kanak dan ia merupakan acara tambahan baharu kepada SCRF yang diadakan di Pusat Ekspo Sharjah yang bermula pada pertengahan Mei lalu.

    Berdasarkan buku The Robot Zoo yang disunting dan direka oleh Marshall Editions dari London, England, pameran itu mengetengahkan lapan robot haiwan dan 15 aktiviti langsung untuk kanak-kanak mempelajari pelan induk jentera dan magik dalam alam semula jadi yang menukarkan haiwan biasa menjadi mesin yang kompleks.

    Ia mempamerkan makhluk robotik besar yang menggambarkan ciri-ciri kehidupan sebenar yang menarik, walaupun spesies terkecil.

    Antara lain pengunjung terutamanya kanak-kanak dapat melihat bagaimana penarik spring boleh menerbangkan belalang robot ke udara dan bagaimana kelawar robot mencari mangsa dalam gelap menggunakan peralatan khas yang bertujuan untuk membantu mereka mencintai serta memahami rakan-rakan mereka di bumi.

    Ayaa Saad bersama anaknya masing-masing berusia tiga dan lima tahun ketika mengunjungi petak Zoo Robot semasa SCRF pada 22 Mei lalu. – Bernama
    Antara haiwan robot yang dipamerkan semasa SCRF. – Emirati Times

    Dengan membandingkan anatomi, persekitaran dan saiz makhluk sebenar dengan bahagian anggota berjentera, Zoo Robot menyediakan pandangan baharu yang hebat dan keseronokan langsung kepada kanak-kanak yang ingin tahu bagaimana haiwan berfungsi.

    Melalui pelbagai bahagian mesin dan alat yang mudah dikenali, mekanisme kehidupan dan anatomi haiwan dan serangga diberi penjelasan kepada kanak-kanak kecil.

    Bagi pengunjung, Ayaa Saad yang datang bersama anak-anaknya, melahirkan perasaan teruja untuk mempelajari mengenai haiwan melalui pameran itu yang menawarkan kemasukan percuma.

    “Festival seumpamanya juga menggalakkan kanak-kanak untuk lebih banyak membaca, bereksperimen dengan robot interaktif dan buku aktiviti selain interaksi dengan rakan sebaya,” katanya kepada Bernama.

    Ayaa yang membawa dua anak perempuan berusia lima dan tiga tahun juga berkata festival seperti SCRF merangsang kanak-kanak untuk mengambil buku dan membacanya.

    Dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Buku Sharjah (SBA), edisi SCRF kali ini memilih tema ‘Mencipta Kreativiti’ menampilkan aktiviti pendidikan dan hiburan serta seminar intelektual dan kebudayaan.

    Festival itu turut menawarkan lebih 1,900 aktiviti termasuk 1,140 aktiviti kanak-kanak, 120 aktiviti kebudayaan dan 130 persembahan artistik dan produksi teater. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 remaja ditahan dalam serbuan antikeganasan

    SYDNEY, 24 APRIL - Polis Australia memberkas tujuh remaja dalam serbuan antikeganasan hari ini, dengan dakwaan rangkaian itu mungkin merancang serangan dan menimbulkan ‘risiko...