Pertama kali bekerjasama, pelakon Zul Ariffin mengagumi bakat yang dimiliki oleh personaliti media sosial Sofyank dalam mencipta video kesan khas visual atau VFX.
Kata Zul, 37, sebelum ini dia mengenali pempengaruh itu selepas menonton beberapa video kolaborasi bersama selebriti luar negara dan merasakan perkara itu sangat mengagumkan.
“Bila dapat peluang untuk bekerjasama dengan Sofyank, sudah tentulah saya teruja sebab pada saya, Sofyank adalah antara bakat anak Malaysia yang mampu pergi jauh.
“Sebelum ini, saya hanya mendengar dan tahu nama Sofyank ini bila ramai cakap mengenai video-video animasi atau VFX yang sering dihasilkan di media sosial.
“Ada juga antaranya yang saya tengok dan dari situ saya dapat rasakan dia ini berbakat besar, apalagi dia pun pernah bekerjasama dengan nama-nama besar di luar negara seperti Zach King, Will Smith, Chris Hemsworth dan Paul Rudd,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, pelakon Sheriff ini juga percaya Sofyank mampu membantu mempertingkatkan kualiti filem yang menggunakan elemen VFX di Malaysia.
“Tidak mustahil dengan potensi yang dimiliki, dia mampu melakukan sesuatu untuk industri seni perfileman tanah air terutama yang melibatkan VFX. Kalau lebih ramai dapat contohi dia pun bagus. Industri kita perlukan lebih ramai orang-orang seperti ini,” ujarnya.
Pertama kali menggayakan kostum adi wira sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Zul memberitahu baju itu diinspirasikan daripada salah satu watak dalam permainan video Forsaken World 2 iaitu Demon Hunter.
Kata Zul, walaupun kostum itu dilihat seperti sut besi yang berat, namun hakikat sebenar adalah sebaliknya.
“Kostum itu nampak macam besi, tetapi tidak berat pun. Saya pun kagum sebab kostum itu juga dihasilkan daripada pereka bertaraf antarabangsa.
“Saya berjaya bawakan watak itu di bawah pengarahan Sofyank tak sampai lima jam. Semuanya berjalan dengan lancar dan yang penting saya seronok melakukannya,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, video arahan Sofyank untuk Forsaken World 2 boleh ditonton di platform media sosial.
Manakala pelancaran rasmi permainan itu pula akan diterbitkan oleh VNGGames pada 22 Oktober dan boleh dimuat turun di App Store serta Google Play.