Oleh Imelda Groves HA
TUTONG, 18 Julai – Sekolah Bakti Dewa Cawangan Tutong turut terlibat sama dalam Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 dengan aktiviti mengibarkan bendera.
Salah seorang guru sekolah berkenaan, Dayang Nurul Fatin Amalina binti Haji Mohamad berkata, “Alhmdulillah seronok. Jika dulu terlibat mengibar bendera sebagai pelajar tetapi sekarang sebagai seorang guru. Bagi saya ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan memandangkan acara ini diadakan setahun sekali sahaja.”
Seorang lagi guru, Dayang Siti Nur Nabilah binti Awang Mohd Jafar pula menyatakan bahawa acara berkenaan adalah antara acara yang ditunggu-tunggu.
“Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Daerah Tutong merupakan satu anugerah besar bagi penduduk daerah ini dan ini merupakan saat yang ditunggu-tunggu kerana bukan selalu dapat menyaksikan dan berziarah dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia,” ujarnya.
Beliau menambah, ini adalah untuk memberi peluang murid-murid untuk berjumpa dan menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja yang lainnya sambil memberikan pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan.
Sementara itu, Dayang Samsulrina binti Enchie pula melahirkan rasa gembiranya kerana dapat membawa murid-murid sekolah untuk mengibarkan bendera dan seterusnya berjunjung ziarah.
“Dengan mempraktikkan murid-murid sejak dari tadika lagi sedikit sebanyak dapat melatih kanak-kanak serta membuka minda mereka akan aktiviti di luar sekolah,” katanya.