Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, hari ini berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Renang Terbuka dan Masters Brunei kedua yang diadakan di Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), di sini.
Turut berkenan berangkat menyertai kejohanan tersebut ialah anakanda Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim.
Juga berkenan berangkat menyaksikan kejohanan tersebut ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.


Dalam kejohanan itu Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim berjaya memecahkan rekod peribadinya dalam acara bebas dengan masa 39.16 saat berbanding 40.30 saat sebelum ini.
Yang Teramat Mulia sekali lagi mencatatkan rekod peribadinya dalam acara 100 meter apabila berjaya mencatatkan masa 1 minit 47.68 saat berbanding 1 minit 54.30 saat terdahulu di acara yang sama. Sebanyak 15 acara dijalankan pada hari kedua hari ini dan kejohanan kali ini menyaksikan 217 kategori diadakan daripada empat disiplin renang termasuk renang bebas, kuak lentang, kuak kupu-kupu dan kuak dada.