Sunday, October 6, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    1.5 juta rakyat S’pura bakal diberi bantuan

    SINGAPURA, 7 JULAI – Kira-kira 1.5 juta rakyat Singapura dewasa yang layak akan menerima wang tunai $450 atau $850 Ogos nanti untuk membantu perbelanjaan hidup harian mereka, kata Kementerian Kewangan (MOF) pada 4 Julai lalu.

    Mereka yang tinggal di rumah dengan nilai tahunan sehingga $21,000 akan mendapat $850.

    Sementara mereka yang mempunyai rumah dengan nilai tahunan lebih daripada $21,000 sehingga $25,000 akan menerima $450.

     “Ini bermakna semua penerima yang layak akan menerima tambahan $150 atau $100, berbanding tahun lepas,” kata MOF.

    Bayaran akan dibuat kepada warga Singapura berumur 21 tahun ke atas yang mempunyai pendapatan boleh taksiran sehingga $34,000 untuk tahun taksiran 2023.

    Bagaimanapun, mereka yang memiliki lebih daripada satu hartanah tidak layak menerima pembayaran.

    Kira-kira 650,000 warga Singapura berumur 65 tahun dan ke atas juga akan dikreditkan sehingga $450 ke akaun MediSave Kumpulan Wang Simpanan Pusat mereka pada bulan Ogos.

    Pengeluaran ini adalah sebahagian daripada skim Baucar GST (GSTV) yang bertujuan membantu membiayai perbelanjaan GST secara kekal untuk rakyat Singapura yang berpendapatan rendah hingga sederhana ketika mereka menghadapi kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan sejak dua tahun lalu.

    Pada Januari 2023, kadar GST meningkat daripada 7 peratus kepada 8 peratus, sebelum melonjak kepada 9 peratus pada awal 2024.

    Pengeluaran GSTV 2024 ini yang pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri, Lawrence Wong pada Februari 2023, akan berjumlah $1.4 bilion, iaitu sekitar $200 juta lebih daripada pada 2023, menurut kementerian itu. – ANN/The Star

    Bantuan bakal diberikan kepada rakyar Singapura untuk hadapi peningkatan kos.- ANN/The Straits Times

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda