Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 keluarga mualaf terima bantuan makanan asasi

    Oleh Yusrin Junaidi

    BELAIT, 15 MAC – Penyerahan sumbangan hasil kutipan Projek Fathul Barakah 3.0 diteruskan lagi hari ini dengan pemberian bantuan berupa makanan asasi kepada 10 keluarga mualaf yang memerlukan di Daerah Belait.

    Penyerahan dikendalikan secara pandu lalu di Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait dan dijalankan oleh Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf) dengan kerjasama Unit Dakwah Daerah Belait dan Persatuan Sinar Islam.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyerahan sumbangan ialah Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar.

    Penyerahan sumbangan diselajurkan dengan penyerahan poster tarbiyah yang dilaksanakan menerusi kolaborasi bersama Bahagian Kajian dan Penerbitan.

    Projek Fathul Barakah 3.0 dianjurkan bersama oleh PDI dan persatuan-persatuan mualaf seluruh negara untuk membantu meringankan perbelanjaan dalam menyediakan keperluan harian keluarga mualaf yang memerlukan.

    Ia juga merupakan salah satu dakwah bil hal dalam memeduli perkembangan serta kebajikan asnaf mualaf supaya mereka dapat menjalankan ibadah dengan sempurna.

    Selain itu, projek seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan ukhuwah di antara persatuan-persatuan mualaf seluruh negara dengan PDI dalam sama-sama mengungkayahkan kerja-kerja berkebajikan untuk kesejahteraan para mualaf khususnya di Negara Brunei Darussalam.

    Penyerahan sumbangan berkenaan akan diteruskan oleh PDI dan unit dakwah daerah masing-masing dengan mengunjungi ke rumah-rumah mualaf.

    Tetamu kehormat bersama hadirin bergambar ramai pada acara penyerahan sumbangan yang berlangsung di Daerah Belait.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda