Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 terima sijil pemandu khas memerhati burung

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Seramai 10 peserta dalam Kursus Asas Pemandu Pelancongan Khas Memerhati Burung telah menerima sijil yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) pada majlis penyampaian sijil yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), hari ini.

    Peserta kursus telah menerima pengiktirafan mereka setelah berjaya menyelesaikan kedua-dua peperiksaan teori dan amali.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada peserta kursus ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Kursus yang julung kalinya itu dianjurkan melalui kerjasama antara JKP, KSSUP dan Kolej Perniagaan Laksamana (LCB) iaitu institusi yang dilantik untuk mengendalikan kursus di Negara Brunei Darussalam, bermula pada 4 hingga 13 November lalu.

    Kursus yang direka khas untuk peminat burung yang ingin mengubah minat mereka menjadi satu profesion, kursus menyediakan peserta dengan pengetahuan khusus dan kemahiran praktikal untuk mengetuai lawatan memerhati burung.

    Ia merangkumi kedua-dua teknik teori dan praktikal, termasuk cara mengetuai lawatan di lokasi yang menjadi tumpuan burung, kenal pasti pelbagai spesies burung menggunakan peralatan seperti skop, panduan lapangan, teropong dan aplikasi memerhati burung dan amalan bertanggungjawab untuk meminimumkan gangguan kepada burung dan habitatnya.

    Peserta kursus kini berpeluang untuk meneruskan kerjaya sebagai pemandu khas memerhati burung, menawarkan pengalaman unik sambil mendidik orang lain tentang burung, pemuliharaan dan kesedaran terhadap alam sekitar.

    Kursus Asas Pemandu Pelancong Khas Memerhati Burung seterusnya akan diadakan pada Januari/Februari 2025 di LCB.

    Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi JKP di talian di 2382822.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bergambar ramai bersama penerima sijil pada majlis yang diadakan di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda