MEXICO, 27 DIS – Pihak berkuasa Mexico telah menemui 12 mayat yang dikebumikan dalam kubur rahsia di negeri Chihuahua, utara Mexico, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan kelmarin.
Penemuan tersebut melibatkan 11 kubur yang mengandungi 12 rangka manusia di daerah Ascension, berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS). Pejabat pendakwa raya negeri mengesahkan penemuan itu melalui satu kenyataan.
“Penemuan itu berlaku semasa operasi pengesanan yang dijalankan pada 18 hingga 20 Disember,” katanya.
“Rangka yang tidak dikenal pasti bersama bukti-bukti lain telah dipindahkan ke makmal Perkhidmatan Perubatan Forensik di bandar Ciudad Juarez,” kata kenyataan itu lagi.
Chihuahua telah dibelenggu keganasan yang berlarutan, dikaitkan dengan jenayah terancang, kerana ia merupakan laluan utama bagi penyeludupan dadah dan pendatang ke AS.
Sejak tahun 1952, negeri tersebut telah merekodkan 3,927 orang yang hilang, menurut angka rasmi. Dua negeri yang paling teruk terjejas oleh keganasan, iaitu Jalisco dan Tamaulipas, masing-masing merekodkan lebih daripada 13,000 orang yang hilang dalam tempoh yang sama.
Mexico telah menyaksikan lebih daripada 450,000 orang terbunuh akibat keganasan yang berkaitan dengan dadah sejak kerajaan menghantar tentera untuk memerangi penyeludupan dadah pada tahun 2006, menurut angka rasmi. – AFP