Oleh Nurdiyanah R.-
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Sempena Tahun Baharu Cina (TBC) yang masih meriah diraikan, Kumpulan Bank Baiduri telah mengadakan acara penghargaan pelanggan di Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, hari ini.
Kemuncak acara telah menyaksikan penyampaian sumbangan untuk golongan pelajar kurang berkemampuan yang terpilih dari 13 buah sekolah swasta di negara ini sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat Kumpulan Bank Baiduri.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan berkenaan kepada wakil jemputan sekolah ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kumpulan Bank Baiduri, Ti Eng Hui dipetik menyatakan bahawa mereka percaya kepada kuasa transformatif pendidikan.
Dengan menaja yuran persekolahan pelajar daripada latar belakang berpendapatan rendah, mereka berharap dapat meringankan beban keluarga pelajar berkenaan dan membolehkan mereka meneruskan pengajian dalam persekitaran sekolah semasa di mana mereka berkembang maju.
“Ini juga menegaskan komitmen kami untuk memupuk kecemerlangan akademik dan mencipta peluang untuk masa depan yang lebih cerah,” ujarnya.
Sekolah-sekolah yang dipilih termasuk Sekolah Menengah Chung Hwa; Sekolah St George; Sekolah St Andrew; Sekolah Chung Hwa Tutong; Sekolah Chung Hwa, Kiudang; Sekolah Menengah Chung Hua; Sekolah Chung Hwa Labi; Sekolah Chung Lian; Sekolah Menengah Chung Ching; Sekolah St Angela; Sekolah St John; Sekolah St Margaret; dan Sekolah Pai Yuek.
Penyampaian sumbangan sedemikian telah bermula pada awal 2000 di mana Kumpulan Bank Baiduri menaja pelajar dari sekolah-sekolah Cina sebagai sebahagian daripada perayaan TBC. Inisiatif tahunan itu telah berkembang untuk melibatkan lebih banyak sekolah swasta di negara ini dengan tujuan untuk menyokong pelajar yang memerlukan bantuan kewangan dengan menaja yuran sekolah tahunan mereka. Sepanjang tahun, Kumpulan Bank Baiduri telah menyokong ratusan pelajar melalui inisiatif berkenaan.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin kanan dari sektor awam, swasta, orang kenamaan asing, para pelanggan perniagaan dan rakan kongsi utama Kumpulan Bank Baiduri.