Thursday, January 2, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    13 wanita Filipina dihantar pulang selepas diampunkan Raja Kemboja

    MANILA, 29 DIS – Kemboja telah memberikan pengampunan diraja dan menghantar pulang 13 wanita Filipina yang dipenjara kerana terlibat dalam skim ibu tumpang, satu amalan yang diharamkan, menurut kerajaan Filipina hari ini.

    Mereka adalah antara 24 wanita warga asing yang ditahan polis Kemboja pada September lalu dan disabitkan bersalah serta dijatuhi hukuman empat tahun penjara pada 2 Disember atas tuduhan percubaan pemerdagangan manusia rentas sempadan.

    Menurut kenyataan Jabatan Kebajikan Sosial Filipina, 13 wanita itu, bersama tiga anak damit mereka, telah dihantar pulang ke Manila hari ini dan dibawa ke pusat perlindungan kerajaan untuk mangsa pemerdagangan manusia.

    Penolong Setiausaha Jabatan Kebajikan Sosial Filipina, Irene Dumlao, memaklumkan bahawa 10 daripada wanita yang dihantar pulang masih hamil.

    “Semua 13 wanita itu berlepas dari Phnom Penh dan tiba dengan selamat di Manila selepas menerima pengampunan diraja daripada Baginda Raja Preah Bat Samdech Preah Boromneath Norodom Sihamoni,” menurut kenyataan Kementerian Luar Filipina.

    Keputusan mahkamah Kemboja sebelum ini menyatakan bahawa terdapat bukti kukuh menunjukkan wanita-wanita tersebut berniat untuk melahirkan anak damit bagi dijual kepada pihak ketiga dengan pertukaran wang, yang merupakan satu bentuk pemerdagangan manusia.

    Bagaimanapun, mahkamah tidak memberikan butiran mengenai apa yang akan berlaku kepada anak damit tersebut.

    Kementerian Luar Filipina turut mengingatkan bahawa amalan ibu tumpang adalah diharamkan di Kemboja, dan sebarang pelanggaran terhadap undang-undang tersebut boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang Kemboja. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda