PHNOM PENH, 3 DIS – Mahkamah Kemboja menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas 13 wanita hamil Filipina kerana bertindak sebagai ibu tumpang, dalam tindakan keras terbaharu terhadap amalan haram itu.
Seramai 13 mereka adalah antara 24 wanita warga asing yang ditahan polis Kemboja di wilayah Kandal September lalu dan didakwa dengan cubaan pemerdagangan manusia rentas sempadan, menurut kenyataan mahkamah Kandal.
Susulan perbicaraan, mahkamah kelmarin telah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun kepada 13 mereka, walaupun dua tahun hukuman itu akan digantung, kata kenyataan tersebut.
Mahkamah berkata, ia mempunyai bukti kukuh menunjukkan bahawa 13 mereka mempunyai niat untuk mempunyai anak damit untuk dijual kepada orang ketiga sebagai pertukaran wang, yang merupakan satu tindakan pemerdagangan manusia.
Kenyataan mahkamah tidak memberikan butiran mengenai masa depan anak damit kepada 13 mereka apabila dilahirkan nanti.
Seorang wanita Kemboja, turut dipenjarakan selama dua bulan dan sehari kerana bersubahat, kata mahkamah.
Tujuh lagi wanita Filipina dan empat wanita Vietnam, yang tidak hamil, telah dihantar pulang dari Kemboja, kata Naib Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan bagi Counter Trafficking Kemboja, Chou Bun Eng, kepada AFP hari ini. – AFP