RIO DE JANEIRO, 9 JULAI — Sebuah bangunan pangsapuri yang diisytiharkan tidak selamat untuk didiami selama lebih sedekad tetapi digunakan oleh gelandangan telah runtuh di negeri Pernambuco di timur laut Brazil, mengorbankan 14 orang, termasuk enam kanak-kanak, lapor anggota bomba kelmarin.
Bangunan di pinggir bandar Paulista di Recife runtuh pada awal pagi Jumaat, menyebabkan operasi mencari mangsa masih berterusan.
Pasukan pencari memeriksa runtuhan dengan teliti dengan bantuan anjing pengesan dan berjaya menyelamatkan dua gadis berusia 15 tahun dan seorang wanita berusia 65 tahun yang masih hidup, kata anggota bomba. Seorang lelaki berusia 18 tahun turut dikeluarkan hidup-hidup, tetapi kemudian meninggal dunia akibat kecederaan.
“Operasi pencarian kini tertumpu pada pemindahan haiwan,” kata jabatan bomba kelmarin.
Bangunan itu dihuni oleh gelandangan walaupun telah dilarang sejak 2010, kata dewan bandaraya Paulista dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa merujuk kepada struktur tersebut sebagai ‘blok keranda’, nama yang diberikan kepada bangunan yang dibina secara besar-besaran pada 1970an di wilayah metropolitan Recife, lapor akhbar Folha de Sao Paulo.
Kenyataan dewan bandar raya itu berkata isu penggunaan bangunan-bangunan yang ditutup secara rasmi di Paulista oleh orang ramai adalah ‘kronik’. Ia berkata para pegawai telah membangkitkan isu tersebut semasa lawatan baru-baru ini oleh Presiden Luiz Inacio Lula da Silva, yang berasal dari negeri timur laut itu. – AP