Sunday, March 16, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    15 Master Trainer kongsi pengetahuan QMET

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 1 Feb – Akademi Maritim Brunei (BMA) di bawah IBTE Kampus Jefri Bolkiah telah layak mengikuti ‘Quality in Maritime Education and Training’ (QMET) dan tidak lama lagi akan menerima pensijilan QMET daripada TUV SUD PSB Pte Limited, Singapura.

    Sehubungan itu, seramai 15 Master Trainer akan berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dalam membangunkan dokumen (QMET) dalam Bengkel Latihan Cascading yang diadakan selama dua hari bermula hari ini di Bilik Latihan IBTE Kampus Jefri Bolkiah, di sini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Bersekutu, Pengurusan Program Temasek Foundation International (TFI), Shiran Ali dan Timbalan Pengurus Besar, Politeknik Antarabangsa Singapura (SPI), Chia Hui Yong yang telah menyokong BMA untuk mencapai QMET berkenaan.

    Hadir sama ialah Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan IBTE, Pengiran Hamidah binti Pengiran Haji Hidup, dalam ucapan alu-aluannya berkata, bengkel tersebut dihasratkan untuk memperkenalkan QMET kepada pegawai-pegawai IBTE yang secara langsung terlibat di dalam Latihan dan Pembelajaran Maritim.

    Pengiran Hamidah berkata lagi, bengkel itu adalah untuk memberi kesedaran dan kefahaman tentang piawaian, sistem kualiti pengurusan dan tanggungjawab pengurusan dan sebagainya yang mana ia juga merupakan peluang kepada pesertanya untuk sama-sama berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pembangunan dokumen-dokumen QMET.

    Para peserta bergambar ramai bersama Shiran Ali, Chia Hui Yong dan pegawai-pegawai IBTE lainnya.
    Para peserta bergambar ramai bersama Shiran Ali, Chia Hui Yong dan pegawai-pegawai IBTE lainnya.
    Shiran Ali, Chia Hui Yong dan pegawai-pegawai IBTE yang hadir pada Bengkel Latihan Cascading yang diadakan di Bilik Latihan, IBTE Kampus Jefri Bolkiah.
    Shiran Ali, Chia Hui Yong dan pegawai-pegawai IBTE yang hadir pada Bengkel Latihan Cascading yang diadakan di Bilik Latihan, IBTE Kampus Jefri Bolkiah.

    “Adalah amat penting untuk peserta memahami QMET dan perlaksanaannya di dalam tugas harian, ia juga untuk meningkatkan operasi dan kualiti pengajaran serta penyampaian program dan kita gembira BMA di bawah IBTE Satellit, telah mencapai persijilan yang menjadi keperluan QMET yang dianugerahkan sedikit masa lagi dan diharapkan dengan pencapaian tersebut, akademi ini akan terus mampan dan meningkat ke arah yang lebih berkualiti,” ujarnya lagi.

      Majlis itu turut menyaksikan pembentangan ‘Pengalaman QMET’ yang disampaikan oleh Pengetua IBTE Satellite, Awang Norjemee bin Jenek, yang diteruskan dengan perkongsian pandangan oleh Shiran Ali bagi mewakili TFI.

    Sebelum bermulanya bengkel latihan tersebut, BMA telah menunjukkan Manual Kualiti QMET dan dokumen-dokumen berkaitan kepada peserta-peserta bagi memberikan mereka kesedaran tentang QMET, diikuti dengan acara penyampaian cenderahati penghargaan kepada TFI daripada Pengetua IBTE Satellite.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda