Saturday, September 28, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    15 maut selepas lombong emas haram runtuh

    JAKARTA, 27 SEPT – Tanah susur di sebuah lombong emas haram di barat Indonesia telah mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang dan menimbus berpuluh-puluh yang lain di dalam lubang terbiar, dengan pekerja penyelamat berusaha mencari mangsa yang hilang, kata pegawai hari ini.

    Lombong tidak berlesen adalah perkara biasa di kepulauan Asia Tenggara yang kaya dengan mineral, di mana tapak terbiar menarik penduduk tempatan yang mencari sisa bijih emas tanpa peralatan keselamatan yang sesuai.

    Tanah susur melanda tapak terpencil di wilayah Sumatera Barat di pulau Sumatera pada petang kelmarin selepas hujan lebat di kawasan itu, kata jurucakap agensi mitigasi bencana wilayah, Ilham Wahab kepada AFP.

    “Maklumat yang boleh kami berikan ialah kejadian tanah susur berlaku di sebuah lombong emas malam tadi, menyebabkan beberapa orang tertimbus. Usaha mencari mangsa masih diteruskan,” katanya.

    Ilhan menambah bahawa 15 orang terbunuh dan tiga cedera, dengan penyelamat mencari 25 yang lain.

    Rakaman yang dilihat AFP menunjukkan anggota penyelamat memasukkan salah seorang mangsa yang maut ke dalam ambulans berhampiran lokasi bencana di daerah Solok.

    Agensi bencana daerah Solok berkata dalam satu kenyataan yang dihantar kepada AFP bahawa tanah susur berlaku di lombong ‘haram’ yang terbiar.

    “Lokasi tanah susur adalah di atas sebuah lubang perlombongan lama yang telah ditinggalkan oleh pelombong terdahulu,” katanya. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda