Saturday, October 26, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    16 maut dalam pertempuran di Mexico

    MEXICO CITY, 25 OKT – Beberapa pertempuran antara pasukan keselamatan Mexico dan penjenayah ang disyaki meninggalkan sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh di negeri selatan Guerrero yang dibelenggu keganasan, kata tentera kelmarin.

    Pertempuran pertama berlaku di bandar Tecpan de Galeana, berhampiran pantai Pasifik, di mana dua orang terbunuh dan empat lagi cedera.

    Pasukan keselamatan bertempur dengan kumpulan penjenayah yang telah menyerang pangkalan tentera di kawasan yang sama, membunuh 14 lelaki bersenjata, menurut kenyataan sekretariat pertahanan negara SEDENA.

    Guerrero, salah satu negeri termiskin di Mexico, telah dibelenggu keganasan selama bertahun-tahun dikaitkan dengan perebutan kawasan antara kartel yang bersaing untuk menguasai pengeluaran dan pengedaran dadah.

    Tahun lalu, 1,890 kes pembunuhan direkodkan di negeri itu, tempat terletaknya bandar peranginan tepi pantai Acapulco, dahulunya tempat percutian mewah bagi golongan kaya dan terkenal yang kini terjejas oleh jenayah.

    Pakar forensik bekerja di tapak letupan di hadapan Sekretariat Keselamatan Awam di perbandaran Acambaro, negeri Guanajuato, Mexico pada 24 Oktober. – AFP

    Pada awal Oktober, datuk bandar ibu kota Guerrero terbunuh kurang seminggu selepas memegang jawatan, dengan pemenggalan kepalanya telah mencetuskan kemarahan di seluruh negara.

    Di wilayah utara kelmarin, di negeri Guanajuato, sebutir bom kereta meletup di luar balai polis, mencederakan tiga pegawai, kata pegawai tempatan.

    Letupan itu merosakkan balai polis, empat rumah dan beberapa kediaman lain tetapi hanya pegawai polis yang mengalami kecederaan, menurut kenyataan jabatan itu.

    Wilayah tengah itu merupakan hab perindustrian yang berkembang maju dan menjadi lokasi kepada beberapa destinasi pelancongan yang popular, namun kini dianggap sebagai negeri paling ganas di Mexico.

    Pada 4 Oktober, mayat 12 anggota polis yang terbunuh ditemui di beberapa lokasi di Salamanca, bandar di Guanajuato. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda