LONDON, 27 NOV – Amnesty International hari ini mendedahkan bahawa polis Angola menggunakan kekerasan melampau termasuk peluru hidup, menyebabkan sekurang-kurangnya 17 penunjuk perasaan maut dalam tempoh kira-kira 30 bulan.
Laporan itu turut menegaskan bahawa tiada seorang pun pegawai polis atau pihak atasan yang bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut telah dihadapkan ke muka pengadilan.
Menurut laporan hak asasi manusia itu, pihak polis dituduh melakukan kekerasan terhadap protes awam dan bukannya menghormati hak perhimpunan aman.
Polis Angola terkenal dengan pendekatan keras mereka, warisan perang saudara 1975 hingga 2002 dan hampir empat dekad penindasan di bawah pemerintahan bekas Presiden Jose Eduardo dos Santos.
Presiden sekarang, bekas Menteri Pertahanan, Joao Lourenco, yang mengambil alih tampuk kepimpinan pada 2017, dijangka bertemu Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, dalam kunjungan rasmi ke negara itu bulan depan. – AFP