BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Persatuan Pelajar Ekonomi dan Kewangan Islam (iFESS), Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sesi 2024/2025 telah mengadakan Borneo Crossroad Expedition yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.
Acara itu adalah hasil kolaborasi antara iFESS, UNISSA dengan Kelab Perniagaan Antarabangsa, UMS.
Acara yang bertemakan Discover, Connect and Explore itu disertai oleh 18 orang badan pelajar iFESS bersama dua pensyarah pengiring iaitu Timbalan Dekan FEKIm, Dr Amnisuhailah binti Abarahan dan Pensyarah FEKIm, Dr Annisa binti Haji Sarbini.
Sesi pagi dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar, UMS, Profesor Madya Ts Dr Sidah binti Idris dan Dr Amnisuhailah. Acara kemudian diteruskan dengan perkongsian antara kedua-dua perbadanan pelajar UMS dan UNISSA yang mana sesi tersebut diakhiri dengan pertukaran cenderahati.
Sesi petang disambung de-ngan perbincangan antara Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) dan FEKIm bagi peluang mobiliti pelajar dan pembelajaran keusahawanan pelajar di UMS dan di UNISSA.
Perbincangan itu dihadiri oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah, Dr Jakaria bin Dasan, dan Dr Amnisuhailah. Acara tersebut diakhiri dengan lawatan ke Masjid Bandaraya dan Pasar Kraftangan Kota Kinabalu, Sabah bagi lawatan keusahawanan.
Acara itu turut membuka peluang dan pendedahan kepada badan pelajar iFESS tentang budaya, tradisi, dan perspektif serta meningkatkan pemahaman dan penghargaan terhadap kepelbagaian. Selain itu ia dapat menjalin hubungan antara pelajar dan pensyarah UNISSA dan UMS serta dapat memberikan peluang kerjasama pada masa depan dalam latihan industri mahupun peluang pekerjaan.