Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    19 sertai Kursus Asas menyelamat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Seramai 19 orang telah menyertai Kursus Asas Menyelamat selama tiga hari yang dikendalikan oleh Unit Skuad Khas, Cawangan Operasi C bagi kursus untuk pelajar Diploma Sains Kesihatan Paramedik, Sekolah Kesihatan, Politeknik Brunei, di Balai Bomba Rimba.

    Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, kursus yang berlangsung pada 8 hingga 10 April itu memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai tugas dan tanggungjawab Unit Skuad Khas, tali dan ikatan yang akan digunakan bagi menyelamat mangsa, membuat perancangan serta tatacara menyelamat mangsa daripada aspek keselamatan dengan penggunaan peralatan.

    Di samping itu, mereka juga belajar tentang tatacara menyelamat mangsa dari kawasan yang berisiko seperti menyelamat dari kawasan terpencil atau sukar untuk dicapai dan memindahkan mangsa dari tempat tinggi atau rendah.

    JBP juga menyatakan jabatan itu turut menyediakan program-program keselamatan seperti taklimat Keselamatan Umum Life Saver 995 dan Kursus Marsyal Bomba bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.

    Kenyataan turut menyatakan bahawa jika berlaku kecemasan, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

    Para peserta kursus diberikan pendedahan tatacara menyelamatkan dan memindahkan mangsa semasa kursus tersebut. – Gambar serahan JBP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda