Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    2 kanak-kanak maut dalam serangan Iran

    ISLAMABAD, 17 JAN – Pakistan berkata hari ini Iran telah melancarkan serangan udara ke atas wilayahnya yang mengorbankan dua kanak-kanak, selepas Tehran melancarkan serangan di Iraq dan Syria terhadap apa yang disebutnya ‘kumpulan pengganas anti-Iran’.

    Pakistan mengecam serangan yang berlaku berhampiran sempadan bersama kedua-dua negara lewat kelmarin, sebagai ‘tidak boleh diterima sama sekali’, menyatakan bahawa ia berlaku tanpa sebarang provokasi.

    Agensi berita Iran, Mehrnews berkata ‘tindak balas peluru berpandu dan dron’ menyasarkan ibu pejabat kumpulan Jaish al-Adl di Pakistan, menyifatkannya sebagai ‘satu lagi langkah tegas yang diambil oleh Iran sebagai tindak balas tegas terhadap pencerobohan terhadap keselamatan negara’.

    Jaish al-Adl, yang ditubuhkan pada tahun 2012, disenaraihitamkan oleh Iran sebagai kumpulan pengganas dan telah melakukan beberapa serangan di Iran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Serangan itu berlaku selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas ‘ibu pejabat pengintip’ dan sasaran ‘pengganas’ di Syria serta di wilayah autonomi Kurdistan Iraq.

    Serangan Iran menambah lagi tekanan terhadap pelbagai krisis di seluruh Timur Tengah, dengan Israel melancarkan perang menentang Hamas di Gaza dan pemberontak Huthi pro-Palestin di Yaman menyerang kapal komersial di Laut Merah.

    Menteri Pertahanan Iran, Mohammad Reza Ashtiani hari ini berkata Tehran tidak akan menetapkan ‘had’ terhadap keselamatan negaranya.

    Mohammad Hosseini, timbalan presiden bagi hal ehwal parlimen, berkata, “Pakistan telah diberi amaran bahawa mereka mesti menghalang individu yang terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai daripada memasuki Iran dan ia adalah wajar bagi Republik Islam itu untuk memberikan tindak balas”. – AFP

    Sebuah kereta meninggalkan hospital ibu pejabat daerah (DHQ) di bandar Panjgur di wilayah Balochistan selepas serangan udara Iran. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda