Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 24 Feb – Projek Rintis Ladang Buah-buahan oleh Syarikat Asia Enterprise secara rasminya bermula, hari ini, dengan Majlis Pembukaan Tapak Baru untuk Perusahaan Tanaman Pertanian Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) di Jalan Singap Merangking, Ulu Belait, Mukim Bukit Sawat.
Pembukaannya telah disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, yang juga Penghulu Mukim Liang, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku tetamu kehormat majlis.
Semasa berucap di majlis itu, Yang Berhormat berkata, usaha memajukan bidang pertanian melalui projek rintis itu menyokong hasrat kerajaan dalam mempelbagaikan sumber negara selain daripada industri minyak dan gas.
Di samping itu, ia juga akan membukakan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan terutamanya para penduduk Mukim Labi, selain peluang untuk peladang-peladang sedia ada mendapatkan kemudahan bekerjasama dengan Syarikat Asia Enterprise (AE) dalam memperluaskan lagi pasaran eksport nanti.
Sementara itu, Pengarah Syarikat AE, Awang Chai Yum Fatt dalam ucapannya pula berkata, syarikat mereka telah diberikan kepercayaan sepenuhnya oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan untuk membuka ladang seluas 20 hektar untuk dimajukan bagi peringkat pertama.
Menurutnya, antara buah-buahan tidak bermusim yang akan ditanam di ladang tersebut nanti termasuklah rambutan, manggis, mangga, petai, langsat, tembikai, longan, nangka, limau, betik, pisang, avokado, sukun, jagung, dan sebagainya.
“Adalah juga menjadi hasrat syarikat kami, melalui projek ini untuk membukakan sekurang-kurangnya 50 hingga 70 peratus peluang pekerjaan kepada penduduk Mukim Labi dan segala kemudahan awam seperti tempat tinggal akan turut disediakan oleh pihak syarikat kami,” katanya.
Beliau menambah, dengan adanya perancangan yang terarah dan pengawasan yang rapi, Syarikat AE juga merancang untuk menjadikan ladang buah-buahan Merangking itu nanti sebagai tarikan dan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara, tetapi apa yang penting adalah usaha keras mereka untuk penghasilan yang produktif dan berkualiti tinggi untuk pasaran eksport ke luar negara.
Awang Chai Yum Fatt seterusnya menjelaskan, kerja-kerja membangunkan tapak seluas 20 hektar itu termasuk memotong pokok-pokok besar dan sebagainya dijangka akan mengambil masa kira-kira tiga bulan.
Dalam hal ini, beliau memohon maaf kepada penduduk berdekatan projek syarikat tersebut sekiranya terdapat gangguan sepanjang kerja-kerja dilaksanakan dan berjanji jika terdapat kerosakan seperti parit, tali air, jalan raya dan lainnya, syarikatnya akan membaiki kerosakan berkenaan.
Projek perintis tersebut yang akan menghasilkan produk tanaman eksport, merupakan yang pertama di negara ini dan akan menumpukan sepenuhnya penghasilan untuk pasaran eksport yang berkualiti tinggi dan akan turut dilabelkan sebagai ‘ditanam dalam negara’.
Syarikat AE mempunyai misi dan hasrat untuk menyumbang ke arah pembangunan aktiviti ekonomi luar bandar dan akan berusaha untuk meningkatkan pendapatan dan standard kehidupan masyarakat di luar bandar dengan menyediakan mereka pekerjaan dan sebagainya.
Majlis pembukaan berkenaan telah menyaksikan acara menumbangkan sepohon pokok di kawasan ladang projek berkenaan dengan menggunakan jentolak yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Haji Abdul Hamid dengan disaksikan bersama oleh Awang Chai Yum Fatt serta tetamu yang lainnya.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Pemangku Penghulu Mukim Labi, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput; Pemangku Penolong Pengarah Pertanian, Hajah Kartini binti Haji Musa; Pemangku Ketua Bahagian Industri Tanaman Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Awang Herman bin Haji Abu; Pemangku Ketua Kampung Bukit Sawat, Awang Mohammad bin Abdullah dan para penduduk kampung serta ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Labi dan juga Liang.
Acara tersebut juga diteruskan dengan penyampaian cenderahati kenangan berupa buah-buahan yang dihasilkan dari ladang Syarikat AE kepada tetamu kehormat dan Yang Berhormat Awang Hanapi serta kepada Awang Mohammad.