Tuesday, November 26, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    20 pasar raya henti guna beg plastik

    PETALING JAYA, 26 SEPT – Sebanyak 20 pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka serta kedai rangkaian farmasi, kesihatan dan kecantikan akan menghentikan penggunaan beg plastik sepenuhnya di 8,000 premis perniagaan mereka bermula 1 Oktober ini.

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata antara yang menyertai inisiatif itu ialah 99 Speedmart, Aeon, 7-Eleven, TF Value Mart dan Guardian.

    “Ada yang sudah melaksanakan inisiatif ini, tetapi pada hari ini mereka menandatangani Akujanji untuk berikrar melaksanakannya secara besar-besaran mulai minggu depan. Sekiranya pelanggan tidak membawa beg sendiri, mereka boleh membeli beg kitar semula di kedai itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kempen ‘Tiada Beg Plastik Sekali Guna’ hari ini.

    Nga berkata menerusi pelaksanaan inisatif itu, penggunaan 200 juta beg plastik setahun dijangka dapat dikurangkan, sekali gus mengurangkan jumlah sisa yang perlu dilupuskan serta membantu memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sedia ada.

    Beliau berkata kerajaan terpaksa menanggung kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang tinggi iaitu sebanyak RM2 bilion setahun dan sedang berusaha mengurangkan pergantungan ke atas tapak pelupusan.

    “Pada masa ini, Malaysia mempunyai 114 tapak pelupusan tidak sanitari dan 22 tapak pelupusan sanitari. Pembukaan dan naik taraf tapak pelupusan memerlukan kos yang sangat tinggi,” katanya.

    Sementara itu Nga berkata Hari Cuci Malaysia yang akan dilaksanakan di seluruh negara pada Sabtu ini bakal tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai program gotong-royong paling besar dalam sejarah. – Bernama

    Nga Kor Ming (dua kanan) mengadakan lawatan ke Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) semasa hadir ke Pra Pelancaran Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day 2024 pada 26 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda