Oleh Ak Zaki Kasharan –
TUTONG, 18 OGOS – Seramai 203 anggota rekrut lelaki bagi pengambilan ke-171 telah menamatkan latihan asas ketente-raan selama tiga bulan di Padang Kawad Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB), Penanjong Garison, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.
Turut hadir ialah Timbalan dan Pemangku Timbalan Pemerintah Angkatan Tentera, Pemangku Timbalan Pemerintah Angkatan Bersama, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan anggota dari Kementerian Pertahanan berserta keluarga dan penjaga anggota-anggota rekrut.
Semasa upacara tersebut, tetamu kehormat telah memeriksa perbarisan, menyampaikan ucapan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian anugerah kepada rekrut-rekrut dan jurulatih-jurulatih yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam kategori-kategori tertentu di sepanjang latihan dijalankan.
Penerima-penerima anugerah bagi Pengambilan Rekrut Lelaki ke-171 ialah 55274 Rekrut (U) Mohammad Ajrie Hafizuddin bin Aji bagi Anugerah Rekrut Terbaik Keseluruhan, 55135 Rekrut Haiqal Raziq bin Indara Sahrin (Anugerah Kemahiran Tentera Terbaik), 55216 Rekrut Mohammad Wafiyuddin Mukminin bin Madain (Anugerah Rekrut Terbaik Senjata Ringan) dan 55187 Rekrut Awangku Firas Khairin bin Pengiran Haji Zainuddin (Anugerah Latihan Jasmani Terbaik).
Manakala, 52432 Lans Korporal (U) Muhammad Rafiuddin Al-Islam bin Rosli telah menerima Anugerah Ketua Seksyen Terbaik dan 50787 Korporal (U) Muhammad Danial bin Fidzan sebagai Platun Sarjan Terbaik.