MIRI, 26 Feb – Seramai 243 orang daripada 79 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan akibat banjir di kawasan pedalaman Limbang, setakat pukul 8 malam ini.
Kesemua mangsa dari Rumah Panjang Asan dan Kampung Semena ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Masyarakat Medamit di Nanga Medamit, yang dibuka pada pukul 1:30 tengah hari ini. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dari Angkatan Pertahanan Awam (APM), Mejar Ismail Mahedin berkata air naik akibat hujan lebat sejak semalam. “Hanya satu pusat pemindahan dibuka setakat ini. Pada masa sama, tiada sekolah ditutup dan akan beroperasi seperti biasa esok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – Bernama