PARADISE, MONT., 3 APRIL – Kira-kira 25 gerabak kereta api tergelincir di barat laut Montana, tanpa sebarang kecederaan atau pemindahan dilaporkan, kata pihak berkuasa, kelmarin.
Gerabak kereta api itu, yang dipercayai tidak membawa barang yang berbahaya, tergelincir berhampiran bandar Paradise di sepanjang Sungai Clark Fork, kata seorang petugas di Pejabat Syerif Daerah Sanders, Bill Brown.
Anggota bomba dan perwakilan dari Montana Rail Link, yang mengendalikan kereta api, bertindak balas dan menyiasat apa yang dibawa oleh kereta api itu, katanya.
Gambar yang disiarkan di media sosial menunjukkan beberapa gerabak terjunam ke dalam sungai.
Gerabak itu tidak mengeluarkan sebarang bahan berbahaya, kata Montana Rail Link dalam satu kenyataan. Syarikat itu berkata punca penyebab tergelincirnya gerabak kereta api itu sedang disiasat.
“Kami komited untuk menangani sebarang kesan kepada kawasan itu akibat kemalangan ini, mengutamakan keselamatan pekerja kami dan orang awam, dan memahami sebab kemalangan ini,” kata syarikat itu. – AP