Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Seramai 26 usahawan peladang bersama ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong A telah mengadakan lawatan ke Pertubuhan Peladang Beaufort, Sabah, Malaysia, kelmarin.
Lawatan rombongan yang diketuai oleh Pengurus Ladang MPK Sengkurong A, Haji Hamidun bin Haji Ahim itu bertujuan untuk mencari pengalaman dari segi tatacara penanaman dan penjagaan dalam sektor industri pertanian dan mewujudkan jalinan kerjasama dalam sektor industri pertanian.
Sebelum membuat lawatan ke ladang nanas, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Beaufort Sabah, Tan Sri Asroh bin Sukardi memberikan penerangan mengenai latar belakang industri pertanian yang berkaitan.
Penyampaian sijil-sijil penghargaan juga diadakan kepada ketua rombongan dan peserta-peserta sebelum beredar melawat kawasan ladang tanaman nanas di kampung Takuli Beaufort, Sabah.