Thursday, January 30, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    28 individu ditahan berhubung kebakaran di pusat peranginan ski – Erdogan

    ANKARA, 29 JAN – Seramai 28 individu ditahan berhubung kebakaran di pusat peranginan ski di Turkiye yang mengorbankan 78 orang, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan hari ini.

    Erdogan berkata pihak pengurusan pusat peranginan itu tidak mengambil kira risiko kebakaran, lapor Sputnik/RIA Novosti.

    “Kami telah dan sedang melakukan segala yang perlu untuk membuatkan rakyat kami berasa bahawa mereka tidak bersendirian dalam hari-hari yang sukar ini. Kami telah memastikan siasatan kehakiman yang diperlukan dimulakan bagi menyiasat sepenuhnya tragedi ini dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Lapan ketua pemeriksa sedang menjalankan siasatan menyeluruh.

    “Dalam fasa pertama, sembilan orang telah ditahan. Apabila keterangan diambil, siasatan diperluaskan. Jumlah yang ditahan meningkat kepada 28 orang. Daripada jumlah itu, 19 individu termasuk pemilik hotel dan pengurus kes telah ditahan. Keputusan kawalan kehakiman telah diambil terhadap tujuh individu,” kata Erdogan dalam ucapannya di parlimen.

    Menurut siasatan, pihak pengurusan hotel gagal mengambil kira risiko kebakaran dan tidak membuat persiapan awal untuk menghadapinya, tambah Erdogan.

    Pada malam 21 Januari, kebakaran memusnahkan bangunan Grand Kartal Hotel di pusat peranginan ski Kartalkaya, wilayah Bolu yang mengakibatkan 78 kematian.

    Sebagai sebahagian daripada siasatan, beberapa pegawai wilayah telah ditahan, termasuk pemilik hotel yang meletakkan semua tanggungjawab atas tragedi itu kepada kakitangan, menyalahkan cef, juruelektrik dan pengawal keselamatan. – Bernama

    Anggota bomba dan pasukan kecemasan bekerja selepas kebakaran yang berlaku di sebuah hotel di Pusat Peranginan Ski Kartalkaya di Bolu pada 22 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda