TAWAU, 28 OKT – Penyasaran subsidi diesel belum dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Labuan bukan atas faktor double standard atau tidak adil, sebaliknya ia mempunyai faktor yang berasas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata perkara faktor pertama melihat kepada kesukaran pemprofilan untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan di Sabah dan Sarawak, justeru langkah itu dilaksana secara rintis di Semenanjung terlebih dahulu.
“Di sana (Semenanjung) kita tahu sasaran yang mahu guna, kerajaan juga boleh salur penyasaran mengikut Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) melalui Budi MADANI,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Kita Gempur @ Tawau bersama rakan strategik kepenggunaan, di sini hari ini.
Armizan berkata faktor kedua pula kerana keadaan logistik dan geografi di Borneo yang menuntut penduduk Sabah dan Sarawak menggunakan kenderaan dengan bahan api diesel bukan atas kemahuan tetapi atas keperluan keadaan geografi.
Beliau berkata alasan ketiga adalah kerana jurang harga barangan yang begitu besar di Sabah, Sarawak dan Labuan berbanding di Semenanjung sejak sekian lama dan perkara itu belum lagi dapat ditangani sehingga kini.
Dalam pada itu Armizan berkata meskipun penyasaran subsidi diesel belum dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Labuan, namun dirinya selaku seorang menteri dan berasal dari Sabah, bertanggungjawab memastikan agar ketirisan subsidi diesel di negeri berkenaan ditangani. – Bernama