Monday, January 6, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 lagi perdengarkan bacaan Al-Quran

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS Tahun 1444 Hijrah yang berlangsung selama dua hari, diteruskan lagi hari ini dengan tiga peserta memperdengarkan bacaan di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, (ICC), Berakas.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Majlis turut dihadiri oleh Kuasa Usaha Sementara Republik Indonesia dan Timbalan Pesuruhjaya Republik Singapura, serta para pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

    Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Haji Manan bin Haji Osman, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, KHEU, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Awang Damit selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS Tahun 1444 Hijrah.

    Acara diteruskan dengan musabaqah bagi Kategori Menghafaz 30 Juz Al-Quran Berserta Pemahaman Juz 24.

    Musabaqah berkenaan merupakan salah satu projek dwi tahunan KHEU yang bertujuan untuk menyemarakkan hari-hari kebesaran Islam dan ia juga merupakan pengisian dalam atur cara Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara.

    Musabaqah pada tahun ini menawarkan dua kategori iaitu Kategori Menghafaz 30 Juz Al-Quran bermula dari Juz 1 hingga juz 30 berserta Pemahaman Juz 24 bagi yang berumur 40 tahun dan ke bawah; dan Kategori Menghafaz 10 Juz Al-Quran bermula dari Juz 1 hingga Juz 10 berserta Pemahaman Juz 10 bagi yang berumur 20 tahun dan ke bawah.

    Pengumuman keputusan musabaqah dan pengurniaan hadiah-hadiah bagi para peserta akan diadakan pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1444 Hijrah esok di Dewan Plenari, ICC.

    Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua menyampaikan cenderamata kepada salah seorang hakim musabaqah.

    ATAS & BAWAH: Salah seorang peserta musabaqah memperdengarkan bacaannya kelmarin.

    Antara yang hadir.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda