Gambar serahan Jabatan Perikanan
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Seramai 35 orang peserta dari pelbagai jabatan kerajaan dan para pengusaha produk makanan laut dan pengusaha tempatan dalam sektor perikanan yang telah mengikuti Kursus Keperluan Eksport dan Pelaksanaan ‘Hazard Analysis Critical Control Point’ (HACCP) bagi Komoditi Ikan telah menerima sijil mereka di Dewan Nur Huda, Kompleks Perikanan Muara, Jabatan Perikanan, baru-baru ini.
Hadir menyempurnakan sijil-sijil kursus berkenaan ialah Pemangku Pengarah Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dayang Noraini binti Haji Anggas.
Menurut kenyataan yang diterima, hari ini, kursus selama lima hari berakhir 1 Februari lalu telah dianjurkan oleh KSSUP melalui Jabatan Perikanan.
Kursus yang disertai oleh para peserta dari Jabatan Perikanan, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Bahagian Keselamatan Makanan dan Kawalan Kualiti, Kementerian Kesihatan itu adalah merupakan salah satu usaha dan langkah-langkah Jabatan Perikanan sebagai pihak berkuasa kompeten (competent authority) bagi komoditi ikan dan yang bertanggungjawab untuk memastikan syarikat-syarikat dan pengusaha industri pemprosesan makanan laut di negara ini mengamalkan dan mematuhi garis pandu amalan kebersihan pada setiap peringkat pemprosesan di kilang dan mematuhi garis pandu keselamatan makanan laut.
Untuk itu, dua orang pakar dari Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia turut dijemput untuk menjalankan kursus tersebut.

Antara objektif utama kursus ini adalah untuk memberikan pengetahuan terperinci dan membimbing syarikat-syarikat industri pemprosesan ikan untuk memenuhi dan mematuhi garis pandu yang terdapat dalam Manual Keperluan Kebersihan bagi Kilang Pemprosesan Ikan Negara Brunei Darussalam.
Pengiktirafan HACCP diwujudkan bagi memberi pengiktirafan rasmi kepada industri yang mencapai dan mengamalkan elemen-elemen HACCP sekali gus memenuhi kehendak-kehendak keselamatan makanan dan kehendak pengguna.
Di samping itu sebagai langkah pengesahan amalan kebersihan ialah dengan perlaksanaan sistem HACCP yang mana merupakan salah satu keperluan sanitari oleh kebanyakan negara pengimport ke atas komoditi makanan laut dan seterusnya menembusi pasaran eksport.
Dengan adanya kursus ini, ianya akan dapat meningkatkan kompetensi pegawai-pegawai yang melaksanakan pemeriksaan audit ke atas keselamatan makanan di premis kilang pemprosesan makanan sama ada kilang pemprosesan makanan dari sumber pertanian atau makanan laut.
Industri perikanan di negara ini berpotensi bagi pasaran eksport bernilai $40.71 juta bagi tahun 2020 dan Negara Brunei Darussalam telah mendapat akses pasaran antarabangsa bagi produk perikanan iaitu negara ASEAN, Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat, Jepun, Australia, Taiwan, Republik Rakyat China, Kanada dan Korea.