Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 7 OGOS – Seramai 350 peserta dari 18 buah negara menyertai Larian Borneo 2022 edisi ketiga yang berlangsung di Daerah Belait.
Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud hadir selaku tetamu kehormat. Larian tersebut bermula dan berakhir di Taman Rekreasi Jubli Perak.
Juga hadir Pengerusi AKIF Media Marketing & Event (AKIF), Pengiran Rosnani Pengiran Ali, dan Presiden Persekutuan Olahraga Negara Brunei Darussalam (BDAF), Mejar (B) Mohd Talip bin Haji Mohd Tahir.
Larian itu diadakan di Daerah Belait anjuran AKIF dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan serta Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria.
Para peserta mula berkumpul seawal pagi bagi membolehkan mereka membuat persediaan dalam perlumbaan yang mereka sertai. Sementara itu, senaman aerobik juga diadakan diikuti dengan pelepasan acara larian yang dirasmikan oleh tetamu kehormat.
Antara kategori acara larian pada tahun ini adalah larian 21km lelaki dan perempuan yang bermula di Taman Rekreasi Jubli Perak mengelilingi Pekan Belait sebelum menuju Panaga dan menamatkan larian di tempat permulaan acara larian.
Sementara itu, kategori larian 10km lelaki dan perempuan serta kategori fun run 3km juga dirasmikan pagi tadi.
“Untuk Larian Borneo tahun ini, para peserta diharap akan dapat menjadikan acara larian ini sebagai platform menguji tahap kemahiran dan ketahanan, termasuk larian 21km dan 10km, di samping mencapai rekod terbaik baharu.”
Beliau juga menghargai usaha pihak penganjur dalam mengadakan acara larian tersebut di samping mempromosikan gaya hidup yang sihat serta menyediakan platform bagi mereka yang berminat dalam sukan larian dan memberi inspirasi untuk mereka meneruskan perjalanan mereka dalam bidang kecergasan.
Ucapan Presiden BDFA diteruskan dengan penyampaian hadiah bagi kategori maraton separuh 21km lelaki yang dimenangi oleh peserta dari Brunei Darussalam, Awang Khairul Ramli, dengan catatan masa 1:20:45.
Tempat kedua dimenangi oleh Ettienne Coetzer, peserta dari United Kingdom, yang mencatat masa 1:20:57 manakala peserta dari Brunei Darussalam, Awang Abdul Malik Hidup menyandang tempat ketiga dengan catatan 1:23:06.
Kategori maraton separuh 21km perempuan pula dijuarai oleh peserta dari Brunei Darussalam, Vanessa On, yang berjaya menamatkan lariannya dengan catatan masa 1:51:39, diikuti oleh Airince Liam dan Nurul Baharuddin yang memenangi naib johan dan tempat ketiga dengan catatan 1:57:55 dan 1:59:19.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada pemenang-pemenang acara larian kategori lelaki dan perempuan.
Johan acara larian yang membawa pulang wang tunai $700 dan pingat emas bagi johan acara larian, manakala naib johan membawa pulang $300 dan pingat perak.
Pemenang ketiga membawa pulang wang tunai $200 dan pingat gangsa.
Kategori larian 10km lelaki menyaksikan Ahmad Yazid sebagai pemenang dengan catatan masa 38:54, diikuti oleh Ruzaini Mahadi ditempat kedua dan Syafiq Shahri ditempat ketiga yang merekodkan masa 39:15 dan 40:47.
Sementara bagi kategori acara larian 10km perempuan menyaksikan Siaw Kim Tho menjuarai kategori tersebut dengan masa catatan 47:16.
Tempat kedua dimenangi oleh Shazana Hamiroldzam dengan masa 48:52 diikuti oleh pemenang ketiga, Noorhanisah Haji Abdul Ghani yang berjaya menamatkan larian pada kiraan masa 49:08. Penyampaian hadiah bagi acara larian 10km lelaki dan perempuan disempurnakan oleh pengerusi AKIF.
Johan membawa pulang wang tunai berjumlah $250 dan pingat emas, manakala naib johan membawa pulang wang tunai $150 beserta pingat perak sementara pemenang tempat ketiga membawa pulang $100 beserta pingat gangsa.
AKIF akan mengadakan acara yang sama di peringkat kebangsaan pada 4 Disember iaitu acara Larian Bangar di Daerah Temburong.