Thursday, May 2, 2024
24 C
Brunei

    -

    36 maut akibat petir, hujan lebat di Pakistan

    ISLAMABAD, 15 APRIL – Petir dan hujan lebat telah mengorbankan sekurang-kurangnya 36 orang, kebanyakannya petani, di seluruh Pakistan dalam tempoh tiga hari lalu, kata pegawai kelmarin, dengan pihak berkuasa mengisytiharkan darurat.

    Kebanyakan kematian berlaku apabila petir menyambar petani yang menuai gandum dan hujan pula menyebabkan rumah runtuh di Punjab, kata Arfan Kathia, jurucakap pihak berkuasa pengurusan bencana wilayah, yang turut menjangkakan lebih banyak hujan akan turun minggu ini.

    Hujan yang turut melanda ibu kota Islamabad, mengorbankan tujuh orang di Baluchistan pada hujung minggu, dan lapan lagi maut di Khyber Pakhtunkhwa yang bersempadan dengan Afghanistan.

    Pihak berkuasa di Baluchistan telah mengisytiharkan darurat.

    Perdana Menteri, Shehbaz Sharif berkata dalam siaran televisyen bahawa beliau mengarahkan pihak berkuasa memberikan bantuan di kawasan yang dilanda hujan.

    Takungan air Pakistan akan bertambah baik kerana hujan, katanya, sambil meluahkan kebimbangan terhadap kematian dan kerosakan.

    Banjir akibat hujan lebat bermusim di Afghanistan telah membunuh 33 orang dan mencederakan 27 yang lain dalam tempoh tiga hari lalu, menurut Abdullah Janan Saiq, jurucakap Taliban bagi Kementerian Pengurusan Bencana Alam Negeri.

    Lebih 600 rumah rosak atau musnah manakala sekitar 200 ternakan mati. Banjir itu turut merosakkan sebahagian besar tanah pertanian dan lebih 85 kilometer jalan raya, katanya.

    Beliau berkata pihak berkuasa di Afghanistan telah memberikan bantuan kepada hampir 23,000 keluarga dan banjir kilat dilaporkan di 20 daripada 34 wilayah di negara itu. – AP

    Seorang lelaki menolak motosikalnya meredah jalan yang ditenggelami air akibat hujan lebat di Peshawar, Pakistan pada 15 April. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ tolak keahlian pakatan teknologi pertahanan AUKUS

    WELLINGTON, 1 MEI - Menteri Luar New Zealand hari ini menolak penyertaan pakatan teknologi pertahanan penting dengan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS),...