Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Bagi mendukung kerjasama serantau, Negara Brunei Darussalam akan menghantar empat orang pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sebagai ahli Independent Decommissioning Body Verification, Monitoring and Assistance Team 5/2023 (IDB VMAT 5/2023) di Mindanao, Republik Filipina.
Sehubungan itu, ABDB telah mengadakan majlis penyerahan bendera kepada delegasi berkenaan yang diadakan di Bolkiah Garison, pagi tadi.
Penyerahan bendera telah disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan kepada Komander Md Zouhdy bin Haji Abd Razak, TLDB selaku Ketua Delegasi IDB VMAT 5/2023.
Turut hadir ialah pemangku setiausaha tetap, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, timbalan setiausaha tetap, pengarah-pengarah, komandan-komandan, pegawai-pegawai kanan tentera dan awam, serta pegawai-pegawai dan anggota dari Kementerian Pertahanan dan ABDB.
Negara Brunei Darussalam akan terus memberikan sokongan dalam memastikan keamanan dan kestabilan serantau dengan mengikut misi-misi memantau perjanjian gencatan senjata antara kerajaan Republik Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) serta mengawasi proses penamatan kuasa dan senjata MILF.