Sunday, March 16, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    5 terima biasiswa JPMC

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Program Biasiswa Jerudong Park Medical Centre (JPMC) memberikan penekanan kepada membina tenaga kerja masa hadapan dalam penjagaan kesihatan dan ia juga menunjukkan komitmen JPMC ke arah memperkasakan belia negara serta melabur ke arah masa hadapan penjagaan kesihatan yang lebih cerah.

    Permintaan bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan semakin bertambah dan landskap kesihatan global juga pesat berubah.

    Oleh itu, matlamat JPMC bukan sahaja untuk memenuhi permintaan berkenaan tetapi juga untuk membangunkan pemimpin penjagaan kesihatan yang menerajui usaha itu dalam meningkatkan, memperbaharui dan mengangkat penyampaian penjagaan kesihatan.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar yang juga Pengerusi JPMC dan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) pada Majlis Penandatanganan Perjanjian dan Anugerah Biasiswa JPMC yang berlangsung di PJSC, hari ini.

    Melalui program biasiswa itu, tambahnya, JPMC akan memudahkan pembiayaan bagi program-program persijilan dan melanjutkan pengajian yang akan menjadi sebagai batu loncatan dalam pembangunan profesional mereka.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan ucapan semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyaksikan para penerima biasiswa menandatangani perjanjian. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan para penerima biasiswa bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Para penerima biasiswa akan diserapkan ke dalam JPMC apabila berjaya menamatkan pengajian bagi memulakan kerjaya profesional mereka.

    Lima orang individu cemerlang telah dianugerahkan dengan Biasiswa JMPC yang berprestij setelah melalui proses penilaian yang teliti serta akan memulakan pengajian mereka di Kolej Sains Kesihatan JPMC pada Ogos nanti.

    Daripada lima penerima biasiswa berkenaan, dua orang akan menjalani Sijil Asas dalam Sains dan tiga orang akan mengambil pengajian Sarjana Muda Sains dalam Kejururawatan.

    Para penerima biasiswa berkenaan ialah Dayang Nur Athirah Muti’ah binti Haji Hamdilah, Dayang Nuramirah Raihana binti Abdullah Mohammad Rozidi, Dayangku Nur Farahana Izzati binti Pengiran Suhanizen, Dayang Nurin Natasha Khairina binti Haji Hassan dan Dayang Nur Amanina Fikriah binti Sofian.

    Para penerima menyatakan perasaan syukur kerana setelah melalui proses penilaian, mereka terpilih untuk dianugerahkan biasiswa berkenaan.

    Mereka menyatakan, biasiswa itu merupakan permulaan perjalanan dalam mencapai impian untuk berbakti dan berkhidmat bagi masyarakat khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda